Kerajaan tiada masalah dengan projek miliki kemampanan kewangan - Rafizi

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor (dua kiri) menyerahkan cenderamata kepada Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli (dua kanan) pada Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal RMK12 di Royal Kedah Club pada Ahad.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor (dua kiri) menyerahkan cenderamata kepada Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli (dua kanan) pada Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal RMK12 di Royal Kedah Club pada Ahad.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Persekutuan tidak akan ada masalah dengan mana-mana projek yang mempunyai kemampanan kewangan dan bermanfaat kepada rakyat.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, aspek kemampanan kewangan amat dititikberat dalam perlaksanaan sesuatu projek di negara ini.

Justeru Rafizi berpandangan, semua pihak perlu memastikan setiap projek yang ingin dilaksanakan memiliki kemampanan kewangannya.

"Jikalau tidak, ia akan jadi beban pada masa hadapan. Jadi, ia pandangan yang saya berikan secara terbuka kepada kerajaan negeri juga.

"Saya faham pandangan-pandangan dan projek yang kerajaan negeri tumpukan termasuklah Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dan lain-lain.

"Pandangan yang saya berikan itu terbuka tapi tumpuan saya nanti ialah untuk memastikan projek-projek ini akan berjaya mencapai kemampanan kewangan supaya ia dapat berfungsi secara swasta dengan baik tanpa memerlukan tanggungan kerajaan baik kerajaan negeri ataupun kerajaan pusat di masa akan datang," katanya.

Beliau berkata sedemikian pada sidang media selepas Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Royal Kedah Club di sini pada Ahad.

Hadir sama, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Dalam pada itu, Rafizi juga menyifatkan mana-mana projek yang ada kemampanan kewangan seperti ini dan membawa hasil kepada rakyat pastinya tidak akan ada masalah oleh mana-mana kerajaan sekalipun.

"Yang kita bimbang adalah jikalau projek itu nampak baik di mata kasar tetapi bila kita lihat secara terperinci, kita ada kebimbangan dari segi kemampanan kewangan," katanya.

Rafizi memaklumkan, sehubungan itu proses ketekunan wajar (due diligence) perlu dilakukan dengan sebaiknya.

"Saya fikir itulah proses yang saya terbuka untuk melaluinya," katanya.

Dalam perkembangan lain, Rafizi berkata, kerajaan akan terus memberi keutamaan kepada usaha merapatkan jurang pembangunan negeri-negeri dalam negara.

"Dasar kita adalah untuk memastikan peruntukan perbelanjaan pembangunan, maksudnya infrastruktur semua itu untuk negeri-negeri yang ada jurang pembangunan yang besar iaitu Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis mereka diberi keutamaan.

"Dasar itu tidak berubah. Saya memang pertahankan dasar itu. Jadi maksudnya jikalau tidak ada tumpuan lain, memang bila kita tentukan peruntukan setiap tahun. Itu (jurang pembangunan) salah satu panduan kita dalam meluluskan projek mana (untuk dilaksanakan)," katanya.