Feri Pulau Pinang operasi 7 Ogos, tambang percuma sebulan

Anthony Loke (kanan) menaiki feri Pulau Pinang baharu sambil diiringi Kon Yeow pada Sabtu.
Anthony Loke (kanan) menaiki feri Pulau Pinang baharu sambil diiringi Kon Yeow pada Sabtu.
A
A
A

GEORGETOWN - Penumpang feri baharu Pulau Pinang bakal menikmati perkhidmatan awam itu secara percuma selama sebulan bermula 7 Ogos sehingga 7 September nanti.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, feri atau katamaran yang menghubungkan bahagian pulau dan tanah besar itu akan mula beroperasi pada 7 Ogos ini.

Menurutnya, sehingga kini, terdapat empat feri baharu bagi menggantikan bot laju yang digunakan sebelum ini selepas perkhidmatan feri ikonik dihentikan.

"Setakat ini kita ada empat buah feri yang mana setiap feri bernilai RM18 juta yang akan beroperasi bermula jam 6 pagi hingga 8.30 malam setiap hari. Sebuah feri mampu menampung 150 pejalan kaki serta 50 buah motosikal dan basikal dalam satu masa.

"Bagaimanapun, hanya tiga feri akan beroperasi setiap hari dan sebuah lagi untuk 'standby'.

"Setiap feri akan mengambil masa 10 minit dengan kekerapan setiap 30 minit pada waktu puncak," katanya pada sidang akhbar selepas meninjau dan menaiki salah sebuah feri baharu di Pangkalan Raja Tun Uda, di sini pada Sabtu.

Terdapat empat feri baharu untuk penumpang pejalan kaki, motosikal dan basikal yang akan beroperasi pada 7 Ogos depan.
Terdapat empat feri baharu untuk penumpang pejalan kaki, motosikal dan basikal yang akan beroperasi pada 7 Ogos depan.

Turut hadir, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan beberapa barisan pemimpin negeri yang lain.

Sebelum ini, akhbar melaporkan empat buah feri baharu Pulau Pinang itu yang dinamakan Teluk Kumbar, Teluk Bahang, Teluk Duyung dan Teluk Kampi selamat tiba di negeri ini dari limbungan kapal di Haiphong, Vietnam.

Anthony berkata, ketika ini, keempat-empat buah feri baharu itu sedang menjalani proses percubaan selama empat minggu.

"Proses percubaan ini antaranya melibatkan latihan dalam kalangan pengemudi (pilot) serta untuk mendapatkan tauliah daripada Jabatan Laut sebelum dapat beroperasi sepenuhnya.

"Dari segi ciri-cirinya pula, feri baru ini dilengkapi ciri-ciri keselamatan yang penuh antaranya kamera litar tertutup (CCTV) yang boleh dipantau oleh jurumudi (pilot) serta di terminal.

"Selain itu, ia juga mempunyai dua buah enjin di bahagian belakang dan hadapan. Oleh itu, ia membolehkan feri ini terus beroperasi sebaik sahaja menurunkan dan mengambil penumpang selain boleh membuat pusingan sehingga 360 darjah," katanya.

Menjawab mengenai isu tambang, beliau berkata, tambang yang akan diperkenalkan kelak adalah berpatutan dan bakal diumumkan selepas perbincangan serta persetujuan bersama Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP).

Sebelum ini, selepas 126 tahun menjadi pengangkutan tertua di Pulau Pinang, perkhidmatan ikonik feri sebagai alternatif laluan dari Seberang Perai untuk ke bahagian pulau dan sebaliknya telah digantikan dengan bot laju bermula 1 Januari 2021.

Perkara itu diumumkan SPPP yang mana, perkhidmatan feri di Pulau Pinang untuk kenderaan empat tayar akan dihentikan bermula 1 Januari 2021 dengan feri Ro-Ro hanya untuk kegunaan motosikal dan basikal sahaja.

Ini bermakna, kesemua kenderaan empat tayar tidak lagi boleh menggunakan laluan laut sebagai alternatif untuk ke bahagian pulau atau sebaliknya.

Bermula tarikh itu juga, perkhidmatan feri bagi penumpang, motosikal dan basikal akan diambil alih oleh Penang Port Sdn Bhd (PPSB) daripada Prasarana Malaysia Berhad.

PPSB juga akan menyediakan perkhidmatan katamaran untuk penumpang, motosikal dan basikal bagi menggantikan feri sebelum ini.