SPR perlu dimaklumkan jika calon Pas tidak kemuka rayuan

 Dr G Manimaran
Dr G Manimaran
A
A
A

SHAH ALAM - Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul perlu memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai kekosongan kerusi Parlimen Kuala Terengganu jika benar calon Pas memutuskan untuk tidak mengemukakan rayuan selepas kemenangannya terbatal.

Penganalisis Pilihan Raya, Dr G Manimaran berkata, tindakan itu penting bagi membolehkan suruhanjaya berkenaan mengambil langkah perlu termasuklah mengadakan pilihan raya kecil (PRK).

"Di bawah Seksyen 36A Akta Kesalahan Pilihan Raya, (jika) tiada sebarang rayuan difailkan di Mahkamah Persekutuan dan dimaklumkan kepada SPR, satu PRK perlu diadakan untuk mengisi kekosongan.

"Ia juga selaras dengan Perkara 54 (1) Perlembagaan Persekutuan, SPR akan mengisi kekosongan kerusi terbabit dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan ditentukan oleh SPR.

"Bagaimanapun, jika ada rayuan, rayuan akan didengar oleh Mahkamah Persekutuan dalam tempoh enam bulan," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang dilaporkan berkata, Pas memutuskan untuk tidak merayu atas keputusan mahkamah pilihan raya yang membatalkan kemenangan calon parti itu di Kuala Terengganu.

Jelas Takiyuddin, keputusan itu dibuat atas pertimbangan memikirkan nasib rakyat.

Dalam pada itu, Manimaran dalam masa sama turut berpandangan, keputusan Pas untuk tidak merayu dibuat kerana parti itu mahu menjimatkan kos.

Selain itu katanya, Pas juga dilihat yakin untuk menang mengambil kira sentimen mereka peroleh pada November lalu.

"Kes Kuala Terengganu seperti kes Cameron Highlands apabila calon BN, Datuk C Sivarraajh tidak kemukakan rayuan apabila Mahkamah Pilihan Raya memutuskan kemenangan beliau sebagai tidak sah pada 20 November 2018," katanya.

Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 27 Jun lalu menerima petisyen yang difailkan calon BN bagi membatalkan kemenangan calon Pas, Datuk Ahmad Amzad Hashim pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril setelah mendapati wujud unsur rasuah ketika tempoh kempen pilihan raya bagi Parlimen tersebut.