Lat penerima pertama Anugerah Seniman Diraja

Sultan Nazrin Shah berkenan melawat Galeri Rumah Lat selepas perasmian hari ini. Foto Bernama
Sultan Nazrin Shah berkenan melawat Galeri Rumah Lat selepas perasmian hari ini. Foto Bernama
A
A
A

BATU GAJAH - Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata, Lat atau nama sebenarnya, Datuk Mohd Nor Khalid merupakan penerima gelaran Seniman Diraja yang pertama oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.

"Saya menjunjung kasih kepada Sultan Perak kerana memberi pengiktirafan kepada Lat sewaktu dia dapat sendiri mendengar gelaran itu pada namanya berbanding seniman lain yang sudah tiada," kata Annuar ketika ditemui sempena majlis perasmian Galeri Rumah Lat, di sini hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Sultan Nazrin Shah yang turut menganugerahkan gelaran Seniman Diraja kepada kartunis itu.

Sementara itu, Mohd Annuar yang merupakan rakan Lat sejak di bangku sekolah ketika berusia 11 tahun berkata, semangat setia kepada negara dalam diri mereka ditanamkan oleh seorang guru.

Katanya, guru yang berperanan besar memberikan dorongan dan keyakinan kepada Lat ialah mendiang Hew Chai Kee ketika beliau berada dalam Special Malay Class di National Type Primary School (English), Jalan Pasir Puteh, Ipoh.

"Kita mempunyai guru yang memberikan kita nilai yang betul. Saya dan Lat sentiasa berasa terhutang budi kepada puan Hew kerana mendidik kami dengan penuh rasa tanggungjawab, kasih sayang dan menanamkan dalam jiwa kami mengenai semangat setia kepada negara.

"Guru itu sentiasa menekankan tentang disiplin dan kerja keras untuk berjaya dan nilai itu kekal dalam diri kami," katanya.

Beliau berkata, ibu bapa Lat sendiri merupakan pendorong utama apabila mengenal pasti bakatnya yang mempunyai kelebihan menjadi pelukis sejak alam persekolahan.

Seorang rakan kartunis Zulkifli Anwar Ulhaque atau lebih dikenali sebagai Zunar berkata, Lat layak dianugerah Seniman Diraja kerana mempunyai kelas tersendiri berbanding kartunis lain kerana menonjolkan sosiobudaya yang membolehkan sesiapa sahaja mengenali budaya Malaysia melalui karyanya.

"Saya rasa ia jarang ada pada kartunis lain iaitu dari segi gaya melukis beliau menggunakan gaya Malaysia terutamanya Melayu yang tidak digunakan kartunis lain yang kebanyakannya menggunakan pendekatan barat seperti saya malah beliau banyak menonjolkan masyarakat berbilang kaum.

"Sebaliknya Lat tetap mengekalkan sosiobudaya dalam bahan lukis dan caranya selain ada menyentuh berkaitan politik jadi saya rasa itu menyebabkan beliau berada begitu jauh di hadapan berbanding kartunis lain yang ada di negara ini," katanya pada majlis yang sama. - Bernama