Hajiji serah 344 geran tanah kepada penduduk Sukau

Hajiji (tiga dari kiri) menyerahkan geran tanah kepada wakil penduduk kampung pada Majlis Himpunan Gagasan Rakyat Bahagian Sukau-Lamag di Dataran Pekan Sukau, Kinabatangan.
Hajiji (tiga dari kiri) menyerahkan geran tanah kepada wakil penduduk kampung pada Majlis Himpunan Gagasan Rakyat Bahagian Sukau-Lamag di Dataran Pekan Sukau, Kinabatangan.
A
A
A

KINABATANGAN - Penantian sejak sekian lama penduduk di kawasan Sukau berhubung pemilikan tanah berakhir apabila Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyerahkan sebanyak 344 geran Tanah Anak Negeri kepada penduduk yang terlibat.

Tanah seluas 722.5 hektar itu diserahkan kerajaan negeri melalui Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah kepada penduduk dari 34 kampung di kawasan Sukau pada Majlis Himpunan Rakyat Sabah (Gagasan) Rakyat Bahagian Sukau-Lamag di Dataran Pekan Sukau di sini pada Sabtu.

Antara kampung yang terlibat ialah Kampung Sukau membabitkan sebanyak 26 geran tanah, Kampung Sungai Teneggang (49), Kampung Bukit Garam (24), Kampung Sungai Takala (22), Kampung Usaha Jaya (51) dan Kampung Sinar Jaya sebanyak 30 geran tanah.

Difahamkan, daripada 344 geran tanah itu, sebanyak 141 adalah geran tanah hasil daripada Program Perkhidmatan Tanah Anak Negeri Sabah (Pantas) dan 203 geran dari proses permohonan tanah biasa.

Hajiji yang juga Presiden Gagasan Rakyat berkata, kira-kira 8,000 geran tanah telah tersedia dan penyerahannya kepada rakyat akan dilakukan oleh beliau semasa lawatan ke daerah-daerah dan oleh wakil kerajaan.

Sementara itu, dalam program yang sama, Hajiji turut menyampaikan warta Tanah Rizab Kediaman Anak Negeri bagi Kampung Litang di kawasan Sukau.

Tanah berkeluasan 82.3 hektar itu disampaikan daripada Pengarah JTU Sabah, Datuk Bernard Liew kepada Pegawai Daerah Kinabatangan, Abdul Manap Abd Ruhim.