Bersih mahu reformasi polis, penjara dilakukan segera

Maria Chin
Maria Chin
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan diminta bertindak segera melakukan perubahan terhadap pelan reformasi polis dan penjara susulan peningkatan kematian dalam tahanan yang semakin kritikal.

Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah berkata, Jabatan Imigresen merekodkan paling banyak kematian dalam tahanan pada tahun lalu iaitu 150 kematian, manakala polis mencatatkan 11 kematian dan Jabatan Penjara pula sembilan.

Menurutnya, berhubung perkara tersebut, Bersih menyarankan lima langkah yang tidak mustahil kerajaan mampu laksanakan dalam tempoh satu hingga dua tahun.

"Dimulakan dengan menyemak badan pengawasan bebas Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) supaya tidak berpihak kepada mana-mana pihak.

"Tindakan ini penting dalam memastikan tiada konflik yang akan berlaku kerana ia tidak berpihak kepada kerajaan dan polis," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Tambah Maria Chin, IPCC juga boleh diberi kuasa untuk menyiasat terutama dalam bidang kuasa tatatertib terhadap pegawai polis yang bertanggungjawab melakukan penderaan serius serta mampu melindungi pemberi maklumat supaya tidak dihukum atau digeruni.

Justeru beliau menjelaskan, pihak kerajaan perlu mengkaji semula pelan reformasi penjara sedia ada membabitkan Jabatan Penjara, PDRM, agensi berkaitan dan masyarakat sivil.

Dalam masa sama, beliau mencadangkan pemerkasaan menerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dalam memastikan pelaksanaan pelan tindakan berkesan dan bertanggungjawab untuk semua agensi penguatkuasaan di bawah bidang kuasanya.

"Jadi, pihak kerajaan perlu meningkatkan peruntukan bajet pada belanjawan 2024 akan datang bagi memastikan reformasi di atas dapat dilaksanakan dengan berkesan.

"Akhir sekali, agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu diperkukuhkan lagi sebagai institusi bebas dalam membendung gejala rasuah," ujarnya.