Lat, kartunis kebanggaan negara

Lat atau nama sebenarnya Datuk Mohd Nor Khalid
Lat atau nama sebenarnya Datuk Mohd Nor Khalid
A
A
A

[DIKEMAS KINI] PADA 5 Mac 1951, di Kota Bharu Perak, keluarga Khalid Mohd Noh dan Noor Azian Haji Said menyambut kelahiran seorang putera yang diberi nama Mohammad Nor.

Mungkin wajahnya yang montel, mendorong keluarganya memberikan nama timang-timangan “Bulat”. Lat merupakan singkatan daripada “BULAT’, hari ini telah menjadi satu nama yang amat dikenali, nama seni kepada seorang seniman yang dianugerahi Ilahi dengan bakat istimewa dan sifat luar biasa.

Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam ayat 84, surah Al-Isra’ bermaksud:

‘Katakanlah (wahai Muhammad), “Setiap orang berbuat menurut keadaannya masing-masing. Maka Tuhan kamu lebih mengetahui siapa (antara kamu) yang lebih benar jalannya”

Ayat tersebut dapat dikaitkan dengan bakat yang dikurniai dan dimiliki oleh setiap manusia. Setiap manusia melakukan sesuatu yang sesuai dengan pembawaannya masing-masing; bahawa manusia dilahirkan dengan dianugerahi kemampuan dan bakat yang berbeza-beza.

Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam ayat 78, surah An-Nahl, bermaksud:

‘Dan ALLAH mengeluarkan kamu daripada perut ibu mu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu pun dan Dia memberi kamu pendengaran, penglihatan dan hati nurani (akal fikiran) agar kamu bersyukur’

Lat telah menggunakan pendengaran, penglihatan dan akal fikiran untuk menghargai dan bersyukur atas bakat kurniaan Ilahi. Sejak kecil Lat menunjukkan minat mendalam terhadap lukisan-lukisan komik dan kartun yang tersiar dalam akhbar-akhbar Utusan Melayu dan Utusan Zaman.

Minat beliau diberikan dorongan dan galakan oleh keluarganya. Lat telah melalui alam persekolahan di Sekolah Melayu Kota Bharu, Perak, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Inggeris) Jalan Pasir Puteh, Ipoh, dan Sekolah Anderson, Ipoh. Bakat melukis yang dimilikinya telah dikenal pasti sejak beliau masih berada di sekolah rendah.

Guru yang berperanan besar memberikan dorongan dan keyakinan kepada beliau ialah Mrs Hew Chai Kee (atau Moira Hew), ketika beliau berada dalam Special Malay Class di National Type Primary School (English), Jalan Pasir Puteh Ipoh. Kulit majalah sekolah tersebut, ‘SUARA PASIR PUTEH’ yang diterbitkan buat pertama kalinya dalam tahun 1962, dihasilkan oleh Lat, yang ketika itu berusia 11 tahun.

Karya beliau mendapat pengiktirafan untuk diterbitkan secara komersial sejak beliau masih di sekolah rendah. Antara karya awal beliau ialah “Komik Tiga Sekawan – Menangkap Pencuri” yang diterbitkan oleh Sinaran Brothers di Pulau Pinang pada tahun 1964, seterusnya “Tua Keladi” yang disiarkan di dalam Majalah Filem yang diterbitkan di Singapura pada tahun 1966, dan “Keluarga Si Mamat” yang pertama kali disiarkan pada tahun 1968 dalam Berita Minggu. Siri ‘Keluarga Si Mamat’ diterbitkan oleh akhbar Berita Minggu selama 26 tahun.

Pada tahun 1974, kartun “Bersunat” yang disiarkan dalam Asia Magazine, Hong Kong berperanan sebagai ‘game changer’; pencetus kepada perubahan kerjaya beliau sebagai kartunis. Akhbar The New Straits Times (NST) pada tahun 1975 melantik beliau sebagai ‘editor kartunis’, memperuntukkan ruang khas “Scenes of Malaysia”. Lalu ternobatlah seorang ‘kampung boy’ menjadi seorang seniman, yang memiliki keistimewaan dan keluarbiasaan bakat bertaraf dunia.

Alhamdulillah pada hari ini, Galeri Rumah Lat akan disempurnakan perasmiannya; penantian yang memakan masa yang panjang bukan sahaja kepada Lat dan keluarga, tetapi kepada seluruh rakyat Malaysia. Galeri Rumah Lat mengabadikan hasil seni dan karya Dato’ Mohd. Nor Khalid, kartunis terulung di negara kita.

Pengamatannya tentang kehidupan yang berwarna-warni dijelmakan melalui beberapa karya popular seperti “Kampung Boy” dan “Town Boy”. Kedua-dua karya ini merupakan antara contoh penelitian yang terperinci mengenai kehidupan di desa dan di bandar yang meliputi pelbagai isu.

Sumbangan dan penglibatan Lat dalam dunia kartun tanah air amat terserlah serta berjaya mengangkat dirinya sebagai tokoh kartunis yang cerdas, bersifat genius, serta memiliki identiti yang unggul. Lakaran bersahaja melalui garapan pengalaman telah meletakkan karya-karya Lat di kelas tersendiri, melayakkan beliau dianugerahi dengan pelbagai penghargaan dan pengiktirafan di peringkat antarabangsa, yang turut mengharumkan nama negara.

Lima faktor berperanan penting di sebalik kejayaan Lat. Pertama, sokongan dan fahaman keluarga; kedua, dorongan guru; ketiga, peranan rakan-rakan sebaya (peers); keempat, ketua yang bijak mengiktiraf bakat dan platform media; kelima, kebijaksanaan dan kearifan beliau sendiri.

Lat tidak pernah lupa kepada jasa keluarga, jasa guru, begitu juga peranan rakan-rakan sebaya; penghargaan dan pengiktirafan yang dijelmakan melalui wajah dan watak dalam karikatur yang beliau hasilkan, seperti watak nenek, ibu dan ayah, begitu juga guru dan rakan sekolah. The NST dan orang-orang yang membimbing beliau semasa di NST, senantiasa menjadi sebutan; dan paling utama, kearifan serta kebijaksanaan beliau sendiri, merupakan faktor terpenting yang meletakkan beliau berada di persada kejayaan.

Karya-karya beliau menggambarkan pandangan dan analisis peribadinya terhadap pelbagai isu, menyentuh kehidupan rakyat jelata terdiri daripada pemandu bas – pemandu teksi, polis trafik – pegawai kastam – pegawai imigresen, doktor dan jururawat, hakim dan peguam, pilot dan pramugari, tokoh sukan, pemimpin agama, pemimpin politik dan pemimpin negara, menyentuh isu-isu lokal, nasional dan antarabangsa.

Di sebalik karikatur lucu yang dikembari dengan dialog ringkas, terkandung falsafah, mesej-mesej yang serius, sindiran yang tajam, persoalan dan saranan, diolah dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan, tanpa mengundang konflik dan permusuhan (hostility).

Melalui lakaran-lakaran yang santai dan bersahaja, beliau berjaya mengetengahkan pemerhatian yang tajam mengenai kehidupan masyarakat majmuk yang hidup dalam harmoni. Karikatur beliau banyak menceritakan tentang apa yang benar-benar berlaku dalam kehidupan masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai kaum, menganut pelbagai agama, mengamalkan pelbagai budaya dan menguasai pelbagai bahasa.

Lat melihat kepelbagaian tersebut sebagai aset dan khazanah berharga di negara ini. Lat memilih mengetengahkan elemen-elemen persamaan (common denominator) anggota masyarakat yang pelbagai itu; seperti kegembiraan majlis perkahwinan, kemeriahan hari kebesaran, alam sekolah, mengalami kesesakan jalan raya, menikmati makanan di restoran dan pelbagai lagi.

Karyanya, membawa mesej jelas, bahawa rakyat yang pelbagai itu sebenarnya, memiliki naluri asas mahu hidup secara aman dan harmoni dalam semangat saling hormat-menghormati; rakyat yang pelbagai itu pada asasnya tidak berprasangka buruk antara satu sama lain hanya kerana berlainan kaum, fahaman agama, amalan budaya dan penguasaan bahasa.

‘Galeri Rumah Lat’ mempamerkan sejarah hidup, liku-liku perjalanan seorang anak seni, merakamkan pelbagai pencapaian dan pengiktirafan yang dicapai oleh seorang ‘kampung boy’ yang berhijrah menjadi ‘town boy’, dan kini bertaraf seniman ternama di peringkat antarabangsa; tetapi LAT kekal dengan sifat rendah diri seorang anak kampung, laksana padi, semakin berisi - semakin tunduk. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala mengurniakan Lat sebaik-baik kesihatan dan usia untuk terus berkarya.

Semoga khazanah yang dipamerkan di galeri ini akan menjadi sumber inspirasi kepada rakyat terutama anak muda Malaysia. Legasi seniman agung ini harus diperturunkan kepada generasi muda sebagai pewaris seterusnya, dan galeri ini menjadi sumber khazanah yang amat bernilai buat rakyat. Semoga Galeri Rumah Lat, kekal sebagai satu simbol pencapaian hebat seorang seniman yang Allah Subhanahu Wata’ala telah mengurniakan bakat tersangat istimewa dan luar biasa.

Dengan lafaz Bismillahi Rahmani Rahim, Beta rasmikan Galeri Rumah Lat.