DAP tidak halang peruntukan, program berkaitan Islam - Anwar

Anwar berucap pada Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan di Laman Niaga Bandar Baru Bangi pada Jumaat malam.
Anwar berucap pada Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan di Laman Niaga Bandar Baru Bangi pada Jumaat malam.
A
A
A

BANGI - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak dakwaan pembangkang kononnya peruntukan Kerajaan Peraduan berkaitan kepentingan Islam semakin berkurangan.

Sebaliknya beliau menegaskan, peruntukan kepada agensi Islam bertambah sejak mengambil alih kerajaan Persekutuan.

"Saya hendak beritahu hampir lapan bulan dalam Jemaah Menteri, kita tambah peruntukan untuk (program berkaitan) Islam.

"Ada bantahan daripada DAP?. (Tidak ada), malah DAP beri kerjasama penuh untuk kita menjalankan program yang baik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan di Laman Niaga Bandar Baru Bangi di sini pada Jumaat malam.

Menurut Anwar, negara ini perlu kekal dan aman tanpa menyentuh isu sensitif yang ditimbulkan oleh pelampau agama dan perkauman sempit serta pengkhianat.

"Negara ini tetap majoriti Melayu, perlembagaan terus memartabatkan bahasa dan hak keistimewaan Melayu, selain kedaulatan Raja-Raja Melayu dan Islam sebagai agama Persekutuan dipertahankan tiada tolak ansur sama sekali.

"Negara ini juga akan menjamin tak kira anak Cina, India, Iban, Kadazan dan semuanya tanpa rasa diri mereka tersisih," ujar beliau.

Anwar memberitahu, Kerajaan Perpaduan juga berusaha untuk terus menyelamatkan Felda dan melupuskan hutang peneroka dengan menyediakan peruntukan berjumlah RM8.3 bilion.

Menurutnya, sebanyak 98 peratus peneroka Felda terdiri dalam kalangan kaum Melayu dan kerajaan berusaha untuk membebaskan mereka daripada hutang.

Tambah beliau, Kerajaan Perpaduan juga amat prihatin kepada semua rakyat tanpa mengira agama dan bangsa.

Katanya, pelbagai peruntukan disediakan untuk kepentingan rakyat disalurkan seperti baik pulih tandas sekolah dan klinik desa.

"Tak kira sekolah rendah, (aliran) agama, Cina, India, Arab, Iban dan Kadazan semua kita bantu, begitu juga baik pulih klinik desa kita lakukan tanpa memilih kawasan," ujar beliau.

ARTIKEL BERKAITAN:

Jentera Kerajaan Perpaduan perlu kerja keras, pastikan menang PRN - Anwar