Jentera Kerajaan Perpaduan perlu kerja keras, pastikan menang PRN - Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap ketika hadir pada Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Selangor di Laman Niaga Bandar Baru Bangi malam ini. - Foto Bernama.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap ketika hadir pada Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Selangor di Laman Niaga Bandar Baru Bangi malam ini. - Foto Bernama.
A
A
A
BANGI - Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu semua jentera parti politik di bawah Kerajaan Perpaduan bekerja keras memastikan kemenangan gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan.

Dalam hal itu, Anwar berkata, Selangor perlu menjadi pembuka lembaran baharu politik negara dengan gerak kerja yang lebih padu dan tersusun daripada setiap ahli serta pendokong parti di dalam PH dan Barisan Nasional (BN), khususnya bagi menawan hati pengundi yang sebahagiannya daripada golongan cerdik pandai.

Beliau berkata, kemenangan di Selangor tidak hanya berkisar kepada kejayaan PH dan BN semata-mata, sebaliknya ia menjadi simbol kepada usaha Kerajaan Perpaduan mengangkat martabat Malaysia kembali disegani di rantau ini.

"Selangor ini negeri yang ramai dengan orang yang cerdik pandai serta matang dalam politik...,negeri ini akan menentukan standard baharu politik di dalam negara ini.

Jadi kita mahu setiap gerak kerja yang dibuat perlulah dengan semangat, keikhlasan selain niat yang betul untuk menyelamatkan rakyat, negeri, agama dan negara daripada mereka yang rakus kuasa," kata beliau ketika melancarkan Jentera Perpaduan MADANI Selangor di sini pada Jumaat.

Majlis turut dihadiri Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan kepimpinan tertinggi PH-BN serta Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Datuk Seri Tiong King Sing mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS). - Bernama.