'Integriti amanah ALLAH'

Dari kiri: RAZARUDIN, AYOB KHAN
Dari kiri: RAZARUDIN, AYOB KHAN
A
A
A

INTEGRITI ialah amalan yang perlu menjadi budaya dan amalan dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menegaskan, dalam pemakaian uniform, logo integriti dan nama akan dipasangkan terlebih dahulu.

“Saya pasangkan pangkat, saya pasangkan logo integriti, saya pasang lambang tangan bersalaman, kemudian barulah saya pasangkan butang dan semua.

“Berkenaan pangkat yang saya pakaikan (uniform), ia bukanlah untuk baju semata-mata, sebaliknya ini untuk Razarudin yang telah diamanahkan ALLAH,” katanya dipetik menerusi akaun TikTok rasmi beliau.

Razarudin, 61, dilahirkan pada 15 Mac 1963 di Dengkil, Selangor. Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Sains Sosial Pengajian Kepolisan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjawat pelbagai jawatan di peringkat negeri dan kontinjen.

Razarudin memulakan tugas di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Kedah pada 1982 sebagai Pegawai Penyiasat dan meneruskan khidmat di jabatan tersebut sehingga 1996 dengan pangkat Penolong Penguasa Polis (ASP) di Muar, Johor.

Antara jawatan yang disandang beliau ialah ASP Pentadbiran di Ibu Pejabat Polis Daerah Muar, Ketua Bahagian Pengurusan di daerah sama dan Pegawai Penyiasat Kanan di Kontinjen Johor.

Selain itu, Razarudin juga pernah dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Kudat sebelum ditempatkan sebagai Penolong Pengarah D9, JSJ Bukit Aman.

Razarudin ketika dilantik sebagai Ketua Polis Negara ke-14 pada Jun lalu menggantikan Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.
Razarudin ketika dilantik sebagai Ketua Polis Negara ke-14 pada Jun lalu menggantikan Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau kemudian dinaikkan pangkat sebagai Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC) dengan menjawat jawatan sebagai Timbalan Komander, Special Task Force On Organise Crime (STFOC), Skuad Taktikal Khas 1 (Jenayah), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sebelum ke Kontinjen Pulau Pinang sebagai Ketua JSJ.

Razarudin juga pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Timbalan Ketua Polis Perak dan Ketua Polis Perak, selain Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada 2021.

Pengalaman luas Ayob Khan digeruni

DATUK Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, antara pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terlibat dalam pelbagai misi besar bagi mengekang ancaman pengganas dan penjenayah bersindiket.

Sebagai petugas media, mengenali beliau kira-kira enam tahun lalu banyak mengajar tentang ketegasan dalam soal integriti dan tanggungjawab.

Ayob Khan ketika menjawat jawatan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman banyak berkongsi tentang kejayaan pasukan mengekang ancaman pengganas.

Malah, beliau tidak lokek menceritakan pengalaman sepanjang berkhidmat untuk Sang Saka Biru.

Pelbagai cabaran dan usaha dilakukan dengan semangat berpasukan bagi memastikan Malaysia bebas daripada sebarang ancaman yang mampu menggugat keamanan negara.

Sudah tentu beliau inginkan yang terbaik buat pasukan agar Sang Saka Biru terus dihormati masyarakat.

Di sini, dikongsikan juga antara cabaran dan misi dilaksanakan Ayob Khan ketika awal menyarung uniform PDRM.

Pada 11 Disember 1995, beliau diamanahkan sebagai pegawai kes dalam operasi khas yang berjaya menahan seorang anggota Al-Qaeda, yang terlibat dalam serangan pertama Pusat Dagangan Dunia New York pada 26 Februari 1993 di Langkawi, Kedah.

Selain itu, Ayob Khan pernah menjadi pegawai kes pada 3 Ogos 1999 dalam operasi penahanan lima rakyat Malaysia yang direkrut oleh kumpulan pengganas berpangkalan di Timur Tengah ketika beliau bertugas di Bahagian Pencegahan Keganasan Cawangan Khas Bukit Aman.

Pada Disember 1999 hingga Januari 2000, Ayob Khan ditugaskan untuk mengesan dan memantau aktiviti empat pengendali Al-Qaeda di Kuala Lumpur, selain turut terlibat dalam misi kemanusiaan di sempadan Pakistan-Afghanistan.

Bermula 2001 hingga 2012, beliau adalah antara pegawai yang mengkoordinasi dan mengawasi operasi kumpulan Jemaah Islamiyah (JI) sebelum berjaya membuat penahanan 239 ahlinya untuk tindakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960.

Memulakan tugas polis pada Disember 1991, beliau turut dipertanggungjawabkan sebagai pegawai kes pada 28 Mei 2004 dalam penyiasatan dan penahanan seorang warga Asia Selatan yang terlibat dengan pembekalan komponen nuklear kepada Pakistan, Libya dan Korea Utara.

Anak jati Kedah itu juga terlibat dalam siasatan kes melibatkan anggota JI dari Singapura, Mas Selamat Kasturi pada 1 April 2009 yang berjaya diberkas semula selepas melarikan diri dari penjara dan bersembunyi di Johor.

Malah, Ayob Khan yang pernah menjawat jawatan Ketua Penolong Pengarah E8 Cawangan Khas Bukit Aman turut terlibat mengkoordinasikan dan mengawasi operasi bagi memastikan pembebasan serta pemulangan dua tebusan Malaysia iaitu Nazaruddin Saidin dan Pong Chong Pong yang diculik oleh kumpulan Abu Sayyaf, berpangkalan di Selatan Filipina.

Pada Februari 2013 hingga Februari 2020, antara tugas getir yang dilaksanakan ialah mengkoordinasikan dan mengawasi operasi-operasi terhadap elemen Daesh yang mengakibatkan penahanan 533 ahli kumpulan di Malaysia di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 dan Akta Pencegahan Keganasan (POTA) 2015.

Bapa kepada dua anak itu turut bertanggungjawab dalam operasi melibatkan militan yang berafiliasi dengan Al-Qaeda, JI, Abu Sayyaf Group, Darul Islam, East Turkestan Islamic Movement dan Babbar Khalsa International.

Ayob Khan yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dan Sarjana Teknologi Maklumat juga dilantik sebagai wakil PDRM dalam menyampaikan pembentangan di pelbagai platform antarabangsa berkaitan isu pengganas.

Kejayaan demi kejayaan

Ketika dilantik sebagai Ketua Polis Johor pada 2020, antara kejayaan yang dikecapi Ayob Khan ialah penangkapan 716 individu terdiri daripada 184 tekong dan 532 migran menerusi Op Pintas Bersepadu Selatan dalam tempoh April hingga Disember 2020.

Seramai 77 orang termasuk 19 pegawai agensi penguat kuasa telah diambil tindakan di bawah jenayah terancang dan disiasat di bawah SOSMA, manakala enam orang di bawah POCA 1959.

Polis Kontinjen Johor menerusi Op Pelican 3.0 turut berjaya menumpaskan antara scammer terbesar iaitu Geng Nicky. Operasi bermula Januari hingga Jun 2021 itu berjaya memberkas 68 orang suspek termasuk dalang iaitu Nicky Liow.

Seramai 14 suspek termasuk Nicky dan dua warga China telah dituduh kerana terlibat dalam jenayah terancang.

Ayob Khan yang kemudiannya dilantik sebagai Pengarah JSJN Bukit Aman pada 3 Januari 2022 hingga 17 April 2023 turut merekodkan kejayaan Op Tapis siri 1 hingga 6.

Dalam operasi itu, JSJN berjaya menangkap seramai 4,014 tokan, 14,451 penagih dan 1,378 orang yang dikehendaki melibatkan pelbagai kes berkaitan dadah.

Op Putih yang dilaksanakan bermula Julai 2022 berjaya menahan lima pegawai kanan polis berpangkat Inspektor hingga Superintenden di bawah Langkah- langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985 kerana bersekongkol dengan sindiket dadah.

Antara operasi besar lain semasa beliau mengetuai JSJN ialah Op Khas Borneo dan Op Khas Utara.

Op Khas Borneo itu berjaya menumpaskan sindiket dadah terbesar di Sabah dengan tertangkapnya ketua sindiket dan siasatan mendedahkan penglibatan pegawai serta anggota.

Bagi Op Khas Utara, JSJN telah berjaya mengenal pasti sindiket dadah antarabangsa melibatkan warga tempatan dan asing.

Razarudin, Ayob Khan gandingan mantap terajui PDRM

Dalam pada itu, gandingan Tan Sri Razarudin Husain dan Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay untuk jawatan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membentuk satu tanda aras bagi perkhidmatan kepolisan dalam negara.

Penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim berkata, untuk melihat gandingan itu serasi atau tidak, ia perlu dilihat sebelum mereka digandingkan.

“Ketua Polis Negara (Razarudin) diketahui sebagai seorang yang memahami selok-belok tugas ini dan saya percaya sebab itu kontrak beliau disambung semasa memegang jawatan Timbalan Ketua Polis Negara.

“Sementara itu, Ayob Khan pula ialah pegawai yang dilihat oleh masyarakat sebagai seorang yang berkaliber dan begitu objektif menjalankan tugasnya.

“Jadi, jika kita lihat dari aspek itu, ia sememangnya satu gandingan yang cukup bagus,” katanya kepada Sinar Harian.

Dari kiri: Kamal Affandi, Shahul Hamid
Dari kiri: Kamal Affandi, Shahul Hamid

Menurut Kamal Affandi, walaupun kemungkinan akan ada perbandingan pucuk pimpinan PDRM sebelumnya, beliau percaya jika diberi masa kepada kedua-dua figura berkenaan, keserasian akan wujud dan kesinambungan perkhidmatan polis yang dimahukan akan dapat dimanifestasikan dengan cemerlang.

“Maka itu, saya tidak nampak sebab untuk kita menidakkan usaha yang sedang dilakukan oleh kedua-dua pimpinan baharu PDRM ini,” ulasnya.

Sementara itu, penganalisis jenayah, Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, Razarudin dan Ayob Khan merupakan gandingan yang mantap.

Malah, beliau percaya PDRM akan melangkah ke satu era baharu dalam usaha membasmi segala bentuk jenayah seperti scammer dan dadah.

“Seperti yang kita tahu, mereka ini amat tegas dan berprinsip. Ia juga akan meningkatkan tahap keyakinan masyarakat kepada PDRM,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berharap Ketua Polis Negeri dan Ketua Polis Daerah bersama kepimpinan baharu mampu membendung jenayah, sekali gus menaikkan martabat pasukan berkenaan.