OPR kekal tidak beri impak kepada perdagangan Malaysia - Tengku Zafrul

Tengku Zafrul ketika merasmikan majlis Anugerah Institusi Kewangan/Institusi Kewangan Pembangunan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana 2022 Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd ke-28 pada Jumaat.- Foto Bernama
Tengku Zafrul ketika merasmikan majlis Anugerah Institusi Kewangan/Institusi Kewangan Pembangunan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana 2022 Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd ke-28 pada Jumaat.- Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus tidak akan memberi sebarang impak kepada perdagangan Malaysia kerana ia lebih banyak dipengaruhi oleh faktor luaran.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata pelabur asing di Malaysia tidak akan membuat keputusan yang mempengaruhi perniagaan mereka sekadar melihat kepada pergerakan OPR semata-mata.

Bagaimanapun, beliau berkata, paras OPR yang tidak berubah akan memberi impak kepada pelabur tempatan berikutan akan memudahkan mereka dari segi merancang hala tuju perniagaan kerana kos pembiayaan yang tidak berubah.

"Pelabur-pelabur akan melihat kepada banyak faktor yang tidak terhad dari segi kewangan, seperti infrastruktur, kemudahan menjalankan perniagaan, bakat dan sebagainya.

"Bagi pelabur asing, mereka tidak begitu meminjam wang daripada bank tempatan untuk modal kerja...pelabur (yang mempunyai pembiayaan dengan bank tempatan) yang berada di Malaysia akan melihat aspek itu dengan positif,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Anugerah Institusi Kewangan/Institusi Kewangan Pembangunan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana 2022 Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd ke-28 di sini pada Jumaat.

Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM pada Khamis memutuskan OPR dikekalkan pada 3.00 peratus.

ARTIKEL BERKAITAN: BNM kekal OPR pada 3 peratus

BNM dalam Pernyataan Dasar Monetari yang dikeluarkan semalam berkata MPC terus menilai bahawa risiko ketidakseimbangan kewangan pada masa hadapan adalah terhad.

MPC juga kekal berwaspada terhadap perkembangan semasa dan akan terus memantau data baharu bagi memaklumkan penilaian prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negara.

"MPC akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil,” kata BNM. - Bernama.