Lee tuck mahu Kenari bangkit menentang PDRM FC

Lee Tuck menjalani latihan bersama KDA FC di Stadium Darul Aman pada petang Khamis. - Foto KDA FC
Lee Tuck menjalani latihan bersama KDA FC di Stadium Darul Aman pada petang Khamis. - Foto KDA FC
A
A
A

TONGGAK Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Lee Tuck mahu pasukannya kembali bangkit pada aksi Liga Super menentang PDRM FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Ahad.

Kekalahan tipis Sang Kenari 0-1 kepada Terengganu FC (TFC) pada Isnin lalu menyaksikan mereka keciciran tiga mata berharga di saat mahu kekal berada di kelompok atasan liga super.

"Sukar buat saya yang sekadar melihat dari jauh apabila kami tewas 0-1 kepada TFC. Kami keciciran mata dalam saingan yang semakin sengit di kelompok pasukan teratas liga.

"Berbekalkan semangat selepas dapat kembali beraksi bersama pasukan pada aksi menentang PDRM FC kali ini, saya mahu memastikan pasukan bangkit menghasilkan tiga mata yang kami idamkan pada perlawanan ini," katanya selepas tamat latihan di Stadium Darul Aman petang Khamis.

Ketua jurulatih, Nafuzi Zain, kapten pasukan Manuel Ott dan Tuck tidak dapat diturunkan pada aksi menentang TFC disebabkan menjalani hukuman penggantungan perlawanan.

Nafuzi dan Ott masing-masing digantung tiga dan dua perlawanan selepas dilayangkan kad merah sewaktu KDA FC tewas kepada PDRM FC di laman sendiri pada aksi liga super 4 Mac lalu.

Tuck pula digantung berikutan memungut tiga kad kuning dalam beberapa aksi sebelum ini.

Walau bagaimanapun, pemain naturalisasi kebangsaan itu tetap melihat perlawanan menentang PDRM FC ini satu cabaran yang sengit selepas tewas 0-1 pada aksi pertama sebelum ini kepada kelab berkenaan.

Menurutnya, kemasukan dua pemain import baharu iaitu Ifedayo Olusegun dan Moses Atede pada pertengah musim ini diyakini mampu memberi impak positif kepada Sang Kenari.

"Kualiti dan pengalaman yang ada pada kedua-dua pemain itu dilihat mampu membantu meningkatkan lagi tahap serta corak permainan yang dimahukan pasukan.

"Walaupun mereka tidak punyai banyak masa membentuk keserasian, namun mereka bekerja keras untuk cepat menyesuaikan diri sepanjang latihan," ujar pemain tersebut.