[VIDEO] Amanah Kedah dakwa aktiviti korek REE masih berlaku

Ismail Salleh
Ismail Salleh
A
A
A

ALOR SETAR - Parti Amanah (Amanah) Kedah mendakwa aktiviti mengeluarkan unsur nadir bumi (REE) masih berlaku sehingga kini di Hutan Simpan Kekal (HSK) Bukit Enggang di Sik.

Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, aktiviti itu didakwa berlaku di tapak milik Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI) tanpa prosedur operasi standard (SOP).

Dr Ismail berkata, penduduk tempatan memaklumkan aktiviti tersebut masih berlaku dengan pekerja kira-kira 12 orang yang tinggal di inap desa berhampiran akan masuk ke kawasan terbabit terutamanya pada waktu malam.

"Jadi, dia (mereka) masuk dalam itu (tanah MBI) tetapi dia buat apa kita pun tak tahu. Dia sebut eksplorasi lah, naik atas (untuk) eksplorasi.

"Jadi, ini lah yang hendak kita (dapatkan) keseluruhan jawapan dalam isu (REE)," katanya kepada pemberita pada sidang media di sebuah premis sekitar Shahab Perdana di sini, pada Jumaat.

Sehubungan itu, beliau menggesa satu tribunal siasatan khas atau Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan segera bagi melakukan siasatan secara terperinci berhubung aktiviti tersebut.

"Pada saya perlu kepada satu tribunal ataupun apa juga bentuk siasatan yang mesti dilakukan terhadap isu REE ini sebab banyak persoalan, banyak pertanyaan yang perlu dirungkai yang selama ini tidak terungkai

"Tidak terungkai semasa di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan jawapan daripada Menteri Besar (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor) pun, semakin (beliau) jawab, saya semakin keliru," katanya.

Beliau turut berharap hasil siasatan yang dilakukan beberapa pihak seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) mahupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut dibentangkan.

"Jadi, kami mendesak supaya satu penyiasatan dilakukan ke atas keseluruhan isu ini (dan) sebab itu perlu kepada (penubuhan) satu tribunal ataupun RCI.

"Walaupun isu ini tidaklah besar sangat macam 1MDB. (Namun) Kita melihat ada elemen-elemen yang perlu dirungkai dan perlu diselesaikan segera," katanya.