Identiti Perak lariskan Miker Pizza

A
A
A

Mohd Amzari berbangga dengan kejayaan mempopularkan identiti negeri Perak menerusi Miker Pizza yang diusahakan sejak tahun 2019.
Mohd Amzari berbangga dengan kejayaan mempopularkan identiti negeri Perak menerusi Miker Pizza yang diusahakan sejak tahun 2019.

IPOH - Sebut sahaja miker, pasti ramai teringatkan kelazatan Miker Pizza yang berjaya menawan hati penggemar makanan segera itu bukan hanya di Perak, tetapi turut menjadi kegemaran pelancong ke Bandar raya Ipoh.

Berkongsi cerita mengenainya, Pengarah Urusan Miker Food, Mohd Amzari Zamri, 39, berkata, bermula tanpa pengalaman menerusi pembukaan restoran Miker Food pada tahun 2016 yang memberikannya ilmu sangat berguna.

Menurutnya, selepas itu munculnya Miker Pizza pada tahun 2019 yang diusahakan bersama rakan kongsi sehingga berkembang seperti sekarang dengan tiga cawangan di Bandar raya Ipoh.

"Walaupun kita menggunakan identiti Perak, ia berjaya menjadi fenomena malah mampu bersaing dengan jenama-jenama besar. Rahsianya, kita sesuaikan menu dengan citarasa tempatan selain menjaga kualiti produk dan perkhidmatan yang disediakan.

"Sudah pasti juga kejayaan kami ini juga didorong bantuan dan sokongan daripada semua pihak termasuklah agensi di bawah kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Perak," katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Amzari berkata, dengan bantuan serta sokongan agensi seperti Sekretariat Pembangunan Usahawan Negeri Perak (STeP), Yayasan Perak dan SME Corp membolehkan perniagaannya terus berkembang.

Jelasnya, perkembangan itu sekali gus memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negeri Perak apabila lebih banyak peluang pekerjaan disediakan untuk rakyat tempatan khususnya anak muda.

Beliau berkata, sehingga kini syarikatnya mempunyai lebih 100 orang pekerja malah dijangka akan bertambah apabila tiga lagi cawangan Miker Pizza akan dibuka pada tahun ini termasuklah di luar Perak.

No Image Caption

"Ini bertepatan dengan hasrat kerajaan negeri Perak menerusi pelan Perak Sejahtera 2030 yang mahukan lebih banyak peluang pekerjaan dicipta hasil perkembangan ekonomi sihat dan dasar mesra usahawan yang disediakan.

"Saya yakin negeri Perak khususnya di Ipoh akan menjadi pilihan bagi usahawan-usahawan muda untuk memulakan perniagaan kerana persekitaran yang dekat dengan hati anak-anak muda," katanya.

Mohd Amzari mengakui hampir kesemua pekerjanya terdiri daripada anak muda tempatan berusia dalam lingkungan 20 hingga 33 tahun dan ia sesuatu yang amat baik.

Dalam pada itu, beliau menyeru golongan muda di Perak untuk mengambil pelbagai peluang disediakan oleh kerajaan negeri sama ada dalam bidang perniagaan, pendidikan, sosial dan sebagainya untuk mencipta kejayaan.

Katanya, kejayaan itu kelak bukan menguntungkan diri sendiri atau syarikat tetapi ia secara tidak langsung turut menyumbang kepada perkembangan ekonomi serta pembangunan negeri Perak.