Pemandu e-hailing didakwa cederakan imam guna kayu, gunting

Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pemandu e-panggilan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, atas pertuduhan mencederakan seorang imam surau yang juga abang iparnya dengan gunting dan memukul mangsa menggunakan kayu kaki meja, awal bulan ini.

Hakuber Ali Abdul Salam, 53, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Sulthan Akbar Ali, 57, di hadapan lif sebuah pangsapuri di Setapak di sini pada 5.34 pagi, 2 Julai lepas.

Bapa empat anak itu, dituduh mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Illya Syaheedah Mohd Razif tidak menawarkan jaminan, kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin selain mengambil kira keadaan mangsa yang kritikal dan masih tidak sedarkan diri di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Namun, sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara untuk membenarkan jaminan, pendakwaan mencadangkan jaminan RM30,000 berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan,” katanya.

Peguam Gursharonjt Kaur Gurcharan Singh yang mewakili tertuduh, memohon supaya jaminan dibenarkan atas alasan anak guamnya menghidap penyakit diabetes, serta mempunyai empat anak dan isteri.

Hakim Hamidah Mohamed Deril membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan yang dipohon pendakwaan dan menetapkan 25 Ogos ini untuk sebutan kes. - Bernama