Perak rancang bina LRA baharu, atasi krisis air di utara

Saarani ketika berucap dalam majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Jasamu Dikenang Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Perak di Ipoh pada pada Khamis.
Saarani ketika berucap dalam majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Jasamu Dikenang Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Perak di Ipoh pada pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri Perak merancang membina satu loji rawatan air (LRA) baharu di kawasan utara negeri bagi menangani gangguan bekalan air yang agak kritikal di kawasan berkenaan terutama pada musim kemarau.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri memerlukan kerjasama Pusat memandangkan penyediaan LRA tersebut memerlukan kos yang sangat tinggi.

"Kita akan berunding dengan kerajaan Pusat untuk melihat bagaimana mereka boleh bantu kita mewujudkan loji rawatan ini kerana memerlukan dana yang besar.

"Ketika ini kita dalam peringkat menghasilkan kertas kerja untuk perbincangan dengan kementerian berkaitan," katanya dalam sidang akhbar sempena majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Jasamu Dikenang Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Perak di sebuah hotel di sini pada Khamis.

Saarani berkata, pembinaan LRA baharu itu bukan sahaja dapat memastikan bekalan mencukupi bagi pengairan pertanian dan perindustrian, tetapi menjamin kualiti air bersih kepada orang ramai.

Malah katanya, menerusi perkhidmatan loji berkenaan, keperluan air lebih stabil dapat dibekalkan kepada Pulau Pinang yang sebelum ini menyatakan hasrat membeli air terawat daripada Lembaga Air Perak (LAP).

"Keutamaan kita menerusi loji rawatan ini tentunya mahu masalah bekalan air di utara Perak diselesaikan dahulu.

"Sekiranya keperluan mencukupi dan ada lebihan, barulah boleh jual air ke Pulau Pinang, itu maksudnya," katanya.

Jun lalu, Saarani mengesahkan telah menerima surat permohonan kerajaan Pulau Pinang untuk membeli air terawat daripada LAP.

Hasrat itu sedia dipertimbangkan kerana ketika ini pun LAP telah menjual air terawat kepada pengguna di Nibong Tebal.