Pinda peraturan demi penuhi kepentingan politik

Wan Zakaria (tengah) menghadiri Perhimpunan Aman Membantah Pindaan Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2019 di Wisma Peladang hari ini.
Wan Zakaria (tengah) menghadiri Perhimpunan Aman Membantah Pindaan Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2019 di Wisma Peladang hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pertubuhan Peladang Terengganu mendakwa keputusan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang meminda beberapa peraturan dalam pertubuhan itu tanpa sebarang perbincangan demi memenuhi kepentingan parti politik tertentu.

Pengerusinya, Datuk Wan Zakaria Abd Rahman berkata, keputusan yang dibuat tanpa perbincangan bersama kementerian, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dengan pemimpin pertubuhan peringkat kebangsaan, negeri dan kawasan menunjukkan tiada ikatan persefahaman antara satu sama lain.

"Apa yang berlaku boleh menimbulkan masalah dan ketegangan dalam Pertubuhan Peladang yang mempunyai hampir sejuta ahli di seluruh negara.

"Jadi, kita minta pihak kementerian meneliti semula perkara ini kerana ia dilihat dibuat dalam keadaan tergesa-gesa hanya demi kepentingan politik parti tertentu, tanpa menghiraukan proses kerajaan Malaysia baharu yang demokratik dalam melahirkan warganegara matang," katanya.

Beliau berkata demikian sempena Perhimpunan Aman Membantah Pindaan Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2019 di Wisma Peladang di sini hari ini.

Menurutnya, ahli jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu bersama 15 Pertubuhan Peladang Kawasan serta seramai 45,765 ahli Peladang seluruh negeri membantah pindaan peraturan itu dan memohon supaya Arahan Pendaftar Bil 1/2016 dikekalkan.

"Bantahan dibuat kerana pelantikan jawatankuasa unit, Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dan Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) perlu dipilih berdasarkan sistem pemilihan secara demokrasi yang diamalkan selama ini.

"Pemimpin yang dipilih akar umbi adalah calon terbaik dalam kalangan semua ahli untuk menerajui Pertubuhan Peladang kerana ia bukan sebuah agensi berkaitan kerajaan (GLC) yang ditubuhkan kerajaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, katanya, bantahan lebih besar dijangka akan diadakan sekiranya tiada sebarang kajian semula dilakukan terhadap pindaan peraturan itu.