Remaja cekik adik hingga maut tiada masalah disiplin - Polis

Keratan Sinar Harian pada Rabu melaporkan kanak-kanak maut dicekik abang berusia 14 tahun.
Keratan Sinar Harian pada Rabu melaporkan kanak-kanak maut dicekik abang berusia 14 tahun.
A
A
A

MELAKA - Remaja lelaki berusia 14 yang dipercayai mencekik adiknya hingga maut dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Bukit Piatu di sini, pada Rabu, tidak mempunyai seberang rekod masalah disiplin.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, mangsa berusia sembilan tahun ditemui jirannya di ruang tamu dengan kesan kecederaan di bahagian muka, hidung dan leher.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai tragedi yang menimpa murid tahun tiga itu oleh orang awam sebelum pasukan polis bergegas lokasi kejadian.

Menurutnya, menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di rumah, mendapati remaja dan anak sulung daripada empat beradik itu telah mencekik mangsa sehingga tidak sedarkan diri.

Katanya, pihak keluarga telah meminta bantuan jiran untuk melihat keadaan yang berlaku dan mendapati mangsa sudah tidak bergerak lagi.

"Siasatan awal yang dijalankan semasa kejadian berlaku suspek dan mangsa hanya tinggal berdua di rumah, manakala pihak keluarga sedang bekerja.

"Hasil pemeriksaan juga mendapati suspek yang merupakan pelajar sekolah tahfiz tidak mempunyai sebarang rekod disiplin," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.

Jelas beliau, suspek telah ditahan dan akan dimohon mendapatkan perintah reman pada pagi ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sinar Harian pada malam Rabu melaporkan jiran mangsa yang juga saksi kejadian, Qhurun Ain Johani, 31, berkata, dia mengetahui insiden itu apabila dihubungi ibu mangsa yang memaklumkan anak sulung dari empat beradik itu sedang mencekik adiknya.

Menurut suri rumah itu, ibu mangsa menyedari insiden terbabit selepas melihatnya di telefon bimbit melalui CCTV yang dipasang dalam rumah sewa mereka.

Katanya, mangsa tidak hadir ke sekolah pada hari itu kerana mengalami sakit mata dan tinggal bersama abangnya yang dipercayai mengalami masalah kesihatan sejak beberapa minggu lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Kanak-kanak 9 tahun maut dicekik abang

Adik maut dicekik: Abang mangsa buli di asrama