Gerakan gesa BNM tidak naikkan lagi OPR

Dominic Lau Hoe Chai
Dominic Lau Hoe Chai
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bank Negara Malaysia (BNM) digesa tidak menaikkan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) susulan daripada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang diadakan pada Rabu dan Khamis.

Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, tindakan BNM sebelum ini secara berterusan menaikkan OPR memberi beban kepada rakyat dan operasi perniagaan.

“Kenaikan OPR akan menjejaskan pelbagai kadar faedah, seperti kadar deposit, pinjaman, kadar bon dan lain-lain lagi.

“Kumpulan B40 dan M40 juga akan terkesan dengan kenaikan OPR kerana kedua-dua kumpulan pendapatan ini menduduki 80 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia.

"Kini, mereka masih menghadapi masalah kewangan dan ekonomi.” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut Perangkaan Bulanan Malaysia terkini, kadar inflasi keseluruhan Malaysia semakin turun dan mencapai 2.8 peratus pada Mei.

Penurunan ini sebahagian besarnya disebabkan Indeks Harga Pengguna (IHP) bukan teras, terutama bahan api (turun 0.2 peratus) dan makanan (turun 0.1 peratus) serta inflasi teras juga turun kepada 3.5 peratus (daripada 3.6 peratus pada bulan April).

“Kini tiada sebab dan keperluan untuk menaikkan OPR dan BNM tidak sepatutnya menaikkan lagi OPR untuk mengelakkan pengaliran keluar modal, menstabilkan kadar pertukaran dan menarik pelabur untuk memegang mata wang Malaysia berikutan kejatuhan mendadak nilai ringgit baru-baru ini," katanya lagi.

Beliau berkata, walaupun langkah itu boleh menghalang mata wang Malaysia daripada terus jatuh tetapi ia juga memberi kesan buruk kepada ekonomi.

Sehubungan itu, tambahnya, BNM perlu mempertimbangkan semula keputusan sekiranya berlaku kenaikan dan harus mengutamakan kebajikan rakyat selain mengekalkan kadar pertukaran.