Pelan Pemulihan Felda di landasan betul - Abdul Wahid

Abdul Wahid ketika bentangkan hasil dapatan Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan dan Keberkesanan Pelan Pemulihan Felda di Bangi pada Rabu.
Abdul Wahid ketika bentangkan hasil dapatan Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan dan Keberkesanan Pelan Pemulihan Felda di Bangi pada Rabu.
A
A
A

BANGI - Pelan Pemulihan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) ketika ini berada di landasan betul susulan peningkatan prestasi ladang dan kilang sawit dilihat sejajar dengan pencapaian industri.

Pengerusi Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan dan Keberkesanan Pelan Pemulihan Felda, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, perkembangan positif itu secara tidak langsung akan mempercepatkan lagi proses pemulihan agensi tersebut.

Bagaimanapun katanya, terdapat beberapa perkara yang perlu diberi tumpuan dalam memastikan pelan pemulihan itu berjaya mencapai matlamat ditetapkan.

“Antara perkara yang perlu diberi perhatian adalah kecekapan pengurusan dan disiplin kewangan dipertingkatkan agar isu berbangkit seperti penyata kewangan lewat dikeluarkan tidak berlaku.

“Selain itu, kita juga berharap tidak ada lagi pemberian pendahuluan hutang seperti sebelum ini dan kita mohon peminjam bertanggungjawab menyelesaikan hutang mengikut terma hutang yang dipersetujui sebelumnya,” katanya ketika membentangkan hasil dapatan jawatankuasa tersebut.

Pembentangan itu dibuat sempena Seminar Jawatankuasa Permuafakatan Produktiviti dan Kualiti (JPPK) 2023 yang berlangsung di sebuah hotel di sini pada Rabu.

Turut hadir, Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Pengarah Besar Felda, Datuk Amiruddin Abdul Satar.

Tambah Abdul Wahid, pengurusan Felda juga disaran untuk memperbanyakkan program yang mampu meningkatkan daya berdikari peneroka bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pinjaman.

Sementara itu, beliau dalam masa sama turut mengakui tugas mengetuai pasukan khas itu bukan sesuatu yang mudah.

Ini kerana katanya, usaha untuk membina semula Felda sebagai institusi berdikari dalam keadaan pelbagai ‘masalah’ dalaman amat mencabar.

“Bagi pasukan kami adalah melihat ke hadapan, jika ada salah laku sudah ada agensi berkaitan akan kendalikannya (kes). Tugas kami sebagai pasukan khas adalah melihat ke hadapan dan buat rumusan sewajarnya,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau perlu memastikan setiap projek yang bakal dilaksanakan selepas ini berupaya memberikan pendapatan yang berbaloi kepada peneroka atau peserta yang terlibat.

Abdul Wahid berkata, ia penting bagi memastikan bantuan kewangan yang disalurkan itu dapat memberikan manfaat berterusan.

“Saya sering ingatkan pengurusan (Felda) apa-apa program yang ingin diperkenalkan mestilah berbaloi. Apabila projek melibatkan pendapatan sedikit ia tidak berbaloi sebenarnya.

“Sebab itulah kerajaan tanggung (banyak beri bantuan). Selepas dapat hasil tuaian pertama (daripada projek tersebut), mereka tidak lagi teruskan kerana hasilnya begitu kecil.

“Jadi, perlu dipastikan apa-apa projek yang dilaksanakan adalah berbaloi. Kalau tidak boleh laksanakan secara individu, buat secara berkelompok atau koperasi,” katanya.

Abdul Wahid dalam masa sama turut menjelaskan antara kelemahan negara ketika ini adalah tidak mempunyai syarikat makanan yang besar.

Sedangkan katanya, FGV Holdings Berhad (FGV) dan Sime Darby Bhd (Sime Darby) mempunyai keupayaan untuk muncul sebagai syarikat makanan besar buat negara.

“Antara kelemahan kita (Malaysia) adakah tidak mempunyai syarikat makanan besar. Bagi saya, dalam konteks yang dilihat mempunyai kemampuan adalah Sime Darby dan FGV,” katanya.