Rakyat bebas bincang di mana-mana, kata Kadir

Ciapan Tunku Ismail yang mengetahui tindakan 'Kadir' di Menara Ilham bagi perbincangan untuk 'menghabiskan' pihak Istana Johor semalam.
Ciapan Tunku Ismail yang mengetahui tindakan 'Kadir' di Menara Ilham bagi perbincangan untuk 'menghabiskan' pihak Istana Johor semalam.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk A Kadir Jasin menegaskan rakyat bebas membincangkan pelbagai perkara di mana-mana sahaja tanpa halangan termasuk perbincangan untuk memastikan bahawa raja-raja tidak ‘merosakkan diri’ mereka sendiri.

Biarpun tidak menyatakan kepada siapa kenyataan itu ditujukan, namun dipercayai ia sebagai kenyataan balas kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim terhadapnya.

“Adakah salah bagi pacal yang hina ini bertemu di mana-mana dalam Malaysia Baharu untuk membincangkan perkara-perkara yang menjadi perhatian umum? Sama ada di puncak menara tinggi, kopitiam atau gerai mamak, rakyat bebas membincangkan kos hidup, kebebasan dan peranan media dan pembangunan politik termasuk di Johor.

“Kami banyak bercakap tentang menteri-menteri PH, menteri besar dan ketua menteri. Osman (Datuk Osman Sapian) sudah tiada dan sekarang Sahruddin (Dr Sahruddin Jamal) adalah Menteri Besar Johor. Kami sedang melihat,” kata Kadir menerusi kenyataan di Facebooknya.

Penasihat Media kepada Perdana Menteri itu berkata, jika UMNO dan Pas bebas mengadakan demonstrasi di Kuala Lumpur kononnya untuk melindungi orang Melayu, Islam dan monarki, rakyat lain juga bebas melakukan perkara serupa.

“Kita juga bebas membincangkan cara melindungi semua rakyat Malaysia dan memastikan bahawa raja-raja perlembagaan ‘tidak merosakkan’ diri sendiri,” katanya.

Beliau kemudian menggesa rakyat Malaysia untuk menghargai dan melindungi Perlembagaan Persekutuan.

"Kami mahu keutamaan diberikan kepada rakyat yang mengundi PH pada 9 Mei 2018," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu melalui ciapan di Twitter, Tunku Ismail mengatakan baginda tahu ‘Kadir’ mengadakan pertemuan di Menara Ilham bagi perbincangan untuk 'menghabiskan' pihak Istana Johor.

“Kadir saya tahu tentang perbincangan di Menara Ilham. Sila teruskan. Tetapi seperti yang saya katakan sebelum ini, mahu ‘habiskan’ kami perlu buat dengan sepenuhnya.

"Tidak boleh separuh jalan atau 50 peratus. Itu pandangan saya. Buat masa ini tolong selesaikan masalah rakyat. Itu pun kalau sudi. Hanya pandangan,” ciap Tunku Ismail.