Misteri lelaki hilang terungkai selepas dua tahun, rangka ditemui tertanam bawah lantai

NEW DELHI – Misteri kehilangan seorang lelaki yang dipercayai bekerja di Australia selama dua tahun akhirnya terungkai selepas polis menemui sisa rangka dipercayai miliknya tertanam kira-kira 3.6 meter di bawah lantai sebuah bangsal industri di Jamnagar, Gujarat.
Polis mendakwa mangsa, Jignesh Mavadiya, dibunuh sebelum mayatnya disembunyikan bagi menutup kejadian berkenaan sejak lebih dua tahun lalu.
Dalam kejadian yang dipercayai berlaku pada 31 Mei 2024, polis mendakwa Jignesh diperdaya untuk hadir ke sebuah bangsal di kawasan perindustrian Dared GIDC sebelum diberi minuman beralkohol yang dicampur sianida sehingga menyebabkan kematiannya.
Mayat mangsa kemudian dipercayai ditanam dalam lubang sedalam kira-kira 3.6 meter sebelum kawasan itu ditutup dengan lapisan konkrit setebal hampir 30 sentimeter bagi mengelakkan ia dikesan.
Kes itu terbongkar selepas keluarga mangsa mula berasa curiga apabila isterinya, Prithvi, gagal memberikan alamat dan maklumat terkini Jignesh di Australia.
Menurut polis, Prithvi sebelum itu mendakwa suaminya telah pergi ke Australia untuk bekerja dan tidak dapat dihubungi kerana majikannya melarang penggunaan telefon.
Bagaimanapun, kecurigaan timbul apabila seorang sepupu Jignesh yang merancang untuk ke Australia meminta alamat serta nombor mangsa bagi tujuan berjumpa dengannya, namun permintaan itu tidak dilayan walaupun beberapa kali dibuat.
Susulan itu, abang mangsa, Ashok Mavadiya, membuat laporan polis pada 26 Julai lalu selepas mengesyaki kehilangan Jignesh mempunyai kaitan dengan isterinya dan seorang lelaki lain.
Hasil siasatan membawa kepada penemuan lokasi pengebumian selepas polis menjalankan pembongkaran di bangsal berkenaan menggunakan peralatan khas bagi menembusi lapisan konkrit.
Polis kemudian menahan Prithvi, lelaki yang didakwa kekasihnya, Nilesh Kachhatia, serta seorang lagi individu, Balveer Verma, atas dakwaan membunuh dan memusnahkan bahan bukti.
Penolong Superintendan Polis, Pratibha berkata, sisa rangka yang ditemui telah dihantar kepada pakar forensik bagi mengenal pasti identiti mangsa.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesahkan urutan kejadian serta mengumpul bukti tambahan berkaitan kes tersebut.-Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
