[VIDEO] Jadikan PRN 'wake up call' kepada kerajaan - Tun Faisal

Tun Faisal ketika Wacana Sinar Siri 404 membincangkan tajuk PRN: Adakah Bom Jangka Kedua? yang berlangsung di Studio Sinar Harian, pada Selasa. - Foto Sinar Harian / Asril Aswandi Shukor.
Tun Faisal ketika Wacana Sinar Siri 404 membincangkan tajuk PRN: Adakah Bom Jangka Kedua? yang berlangsung di Studio Sinar Harian, pada Selasa. - Foto Sinar Harian / Asril Aswandi Shukor.
A
A
A

SHAH ALAM - Enam pilihan raya negeri (PRN) yang bakal diadakan wajar menjadi 'wake up call' kepada kerajaan dan peluang kepada rakyat menjadikannya sebagai bom jangka buat kali kedua selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebelum ini.

Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional (MN), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, perkara itu hanya boleh berlaku dengan kesedaran daripada rakyat sendiri yang kini terkesan dengan kenaikan harga barang dan pemansuhan subsidi.

Menurutnya, pemberian undi kepada Pakatan Harapan (PH) mahupun Barisan Nasional (BN) tidak mungkin akan mengubah keadaan.

"PRN perlu jadi wake up call supaya bila kita tak bagi undi pada PH dan BN, maka orang-orang yang angkuh akan jadi kurang angkuh.

"Mereka akan cari jalan macam mana nak turunkan harga barang...mereka tak akan hapuskan subsidi begitu sahaja. Bil elektrik tak akan melonjak.

"Jadi bom jangka tadi kalau ada kesedaran dalam kalangan rakyat bahawa inilah laluan yang terbaik untuk mengajar kerajaan ini, inilah masanya," katanya menerusi Wacana Sinar Siri 404, disiarkan secara langsung di platform digital Sinar Harian pada Selasa.

No Image Caption

Program membincangkan topik bertajuk 'PRN: Adakah Bom Jangka Kedua?' turut menampilkan Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin; Naib Pengerusi PKR Perak, Muhamad Arafat Varisai Mahamad dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam sebagai panelis.

Tun Faisal berkata, realitinya rakyat kini sedang susah termasuk golongan peniaga apabila kuasa membeli rakyat semakin merosot.

"Penjawat awam pun susah. Maksudnya kalau dengar hujah wakil kerajaan, pertamanya yang tak salah adalah kerajaan, yang salah rakyat.

"Ini adalah peluang kepada rakyat untuk menunjukkan mereka perlukan perubahan,"katanya.

Dalam pada itu, beliau berpandangan, tidak timbul isu 3R (kaum, agama dan raja) di negara ini dan rakyat perlu lari daripada naratif yang cuba dibawa oleh kerajaan menerusi 3R khususnya dalam berdepan PRN di enam negeri nanti.

"Kekecewaan Melayu Islam hanya dua, iaitu rayuan kalimah ALLAH dibatalkan.

"Keduanya, kekecewaan kalau di Selangor ada 200,000 anak-anak, murid Islam terkapai-kapai masa depannya disebabkan peraturan PBT (pihak berkuasa tempatan) menyebabkan mereka susah daftar dan diluluskan sekolah," katanya.

Orang ramai hadir menyaksikan Wacana Sinar Siri 404 membincangkan tajuk PRN: Adakah Bom Jangka Kedua? yang berlangsung di Studio Sinar Harian, pada Selasa. - Foto Sinar Harian/Asril Aswandi Shukor.
Orang ramai hadir menyaksikan Wacana Sinar Siri 404 membincangkan tajuk PRN: Adakah Bom Jangka Kedua? yang berlangsung di Studio Sinar Harian, pada Selasa. - Foto Sinar Harian/Asril Aswandi Shukor.

Mengulas mengenai Ploklamasi Orang Melayu dibawa oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Faisal mendakwa ia adalah disebabkan kebimbangan terhadap kerajaan yang boleh didominasi DAP.

"Beliau risau melihat kerajaan hari ini dikuasai DAP 40 kerusi. Berdasarkan pengalaman 22 bulan (bersama kerajaan PH) dia (Mahathir) lihat kerajaan ini boleh didominasi DAP,"katanya.