Guan Eng sedia jumpa Mufti Perlis

Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin
A
A
A

SHAH ALAM - Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sedia bertemu Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin bagi berbincang dan bermusyawarah.

Beliau berkata demikian berhubung laporan media baru-baru ini memetik kenyataan Mohd Asri mengenai DAP kononnya menentang syiar dan syariat Islam.

Begitupun, Guan Eng memaklumkan beliau masih belum menetapkan tarikh untuk bertemu dan menunggu masa sesuai untuk berjumpa.

“Saya rasa tiada masalah untuk kita bincang atau bermusyawarah. Jadi saya rasa, bincang atau dialog adalah satu perkara yang baik.

ARTIKEL BERKAITAN: Realiti politik membiarkan umat Islam dibuli: Mufti Perlis

“Tentu kita kena hormat masanya kerana beliau sibuk dan saya yakin bila beliau boleh luangkan masa, kita akan dapat berjumpa,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis perasmian Persidangan DAP 2019 di sini hari ini.

Semalam, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong dalam satu kenyataan berkata Guan Eng mengundang Mohd Asri untuk bertemu dan berbincang.

Agamawan itu kemudian menyatakan kesudian untuk menerima undangan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, mengulas isu melibatkan pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik, Guan Eng menegaskan kerajaan perlu menunggu laporan pertuduhan terhadap beliau terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.

“Saya rasa kita perlu dapatkan laporan daripada agensi berkaitan terlebih dahulu.

“Apabila bercakap tentang pertuduhan itu, elok kita tengok dulu laporan-laporan yang ada. Saya tidak boleh komen kerana ia bukan di bawah kementerian saya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan pemberita sama ada parti itu akan menekan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad agar mengekestradisi Zakir ke India.

Jumaat lepas, Dr Mahathir berkata kerajaan akan mengkaji tuduhan terhadap Zakir mengikut undang-undang sedia ada.

Zakir, 53, yang kini tinggal di luar negara didakwa telah memperoleh aset yang dikaitkan dengan jenayah bernilai AS$28 juta (RM115,964,800).

Selain pengubahan wang haram pihak berkuasa India juga menuduhnya menyebarkan ucapan berbaur kebencian dan menghasut keganasan.