'Ini madu terakhir' - Isteri

Midah menunjukkan pakaian yang dikenakan oleh suaminya, Che Hussin (gambar kecil) semasa mencari madu lebah. Foto kanan: Anggota JBPM Pasir Puteh menggunakan kaedah 'hightline rescue' dan sistem takal untuk membawa turun pencari madu yang meninggal di atas pokok keruing di hutan Kampung Cabang Tongkat.
Midah menunjukkan pakaian yang dikenakan oleh suaminya, Che Hussin (gambar kecil) semasa mencari madu lebah. Foto kanan: Anggota JBPM Pasir Puteh menggunakan kaedah 'hightline rescue' dan sistem takal untuk membawa turun pencari madu yang meninggal di atas pokok keruing di hutan Kampung Cabang Tongkat.
A
A
A

PASIR PUTEH - Isteri kepada pencari madu yang maut di atas pokok keruing di hutan Kampung Cabang Tongkat di sini pada Isnin tidak pernah menyangka kata-kata 'ini madu terakhir' yang diucapkan oleh suaminya menjadi kenyataan.

Midah Abdul Rahman, 62, memberitahu, sebelum kejadian Che Hussin Che Hassan, 62, acap kali mengungkap ayat yang sama kepadanya selepas dia cuba melarang arwah ke hutan mencari madu.

"Saya tidak menyangka itu petanda suami akan pergi buat selamanya.

"Semasa kejadian, dua lagi rakan yang turut sama mencari madu ada memberitahu suami sempat menyebut kalimah ALLAH beberapa kali pada ketinggian 60 meter sebelum mendapati kakinya kelihatan terjuntai," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Kampung Telosan di sini pada Selasa.

Menurut Midah, suaminya sempat melaung kepada dua rakannya supaya berselawat sebanyak tiga kali semasa memanjat.

Ujar dia, Che Hussin merupakan pakar mencari madu lebah dan sering ke hutan untuk berbuat demikian bagi menyara keluarga selain bekerja sebagai penebang pokok.

"Pada hari kejadian saya tidak sempat melihat arwah untuk kali terakhir sebelum dia bertolak dengan motosikal kerana berada di dapur.

"Sebelum itu arwah sempat berpesan kepada saya supaya memasak air asam kaki lembu, namun tidak sempat untuk menjamahnya," katanya.

Tambahnya, hasil bedah siasat yang dijalankan Che Hussin dipercayai meninggal dunia disebabkan serangan jantung.

Bapa kepada tiga anak dan seorang cucu itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mukim Telosan pada jam 11 pagi.

Anak lelaki arwah, Muhamad Ariffin, 30, memberi penghormatan terakhir pada arwah bapanya di Tanah Perkuburan Islam Mukim Telosan.
Anak lelaki arwah, Muhamad Ariffin, 30, memberi penghormatan terakhir pada arwah bapanya di Tanah Perkuburan Islam Mukim Telosan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintenden Zaizul Rizal Zakaria berkata, pada Isnin jam 1.40 petang pihaknya telah menerima maklumat tentang kejadian seorang lelaki dipercayai tersangkut di atas pokok keruing.

"Pasukan penyelamat yang terdiri daripada Polis, JBPM (Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia), APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia) serta KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dengan dibantu oleh beberapa orang awam telah hadir di kaki Bukit Cabang Tongkat, Jalan Pasir Puteh-Machang iaitu jalan yang perlu digunakan untuk pergi ke lokasi kejadian.

"Pasukan penyelamat mengambil masa kira-kira 45 minit untuk sampai ke lokasi kejadian kerana ia terletak kira-kira lima kilometer ke dalam hutan," ujarnya.

Beliau memberitahu, mangsa yang berada di atas pokok keruing telah tersangkut pada ketinggian lebih kurang 60 meter dan berjaya diturunkan oleh pasukan penyelamat pada jam 7 petang.

Menurut Zaizul Rizal, pemeriksaan lanjut mendapati mangsa telah meninggal dunia.

Ujarnya, turut ditemui adalah tali polypropylene (nylon) 16 milimeter yang tersangkut pada bahagian lengan kiri dan leher mangsa.

"Mangsa merupakan seorang peniaga madu lebah dan telah memanjat pokok untuk mencari bahan mentah itu sejak 13 tahun yang lalu.

"Pada hari kejadian, mangsa bersama dengan dua orang rakannya telah masuk ke dalam hutan pada jam 8 pagi," katanya.

Media sebelum itu melaporkan, anggota JBPM Pasir Puteh menggunakan kaedah 'hightline rescue' dan sistem takal untuk membawa turun pencari madu yang meninggal di atas pokok keruing di hutan Kampung Cabang Tongkat.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, mangsa dipercayai tidak sedarkan diri ketika berada di atas pokok setinggi kira-kira 60 meter untuk mendapatkan madu.