Didenda RM200,000 guna dokumen palsu tuntut insentif Penjana

Mohd Azmi (dua,kiri) didenda RM200,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Selasa.
Mohd Azmi (dua,kiri) didenda RM200,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Seorang ahli perniagaan syarikat pembekal pekerja didenda RM200,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan di Mahkamah Sesyen, di sini pada Selasa, kerana menggunakan dokumen palsu sebagai tulen iaitu Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Penjana 2.0, dua tahun lalu.

Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman tersebut selepas menerima pengakuan salah terhadap tertuduh Mohd Azmi Mat Sah, 55, dan mensabitkannya dengan pertuduhan pilihan serta menimbangkan fakta kes, rayuan dan hujah pendakwaan.

Elesabet turut menetapkan hukuman penjara 12 bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah menggunakan sebagai tulen satu dokumen iaitu Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja (Hiring Incentive Program) atas nama DRAZZ Global Resources yang mana tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen itu adalah palsu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat DRAZZ Global Resources di Jalan Kristal Merah 2, Kompleks Perniagaan Limbongan di sini, pada 5 Jun 2021 dan didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun sama.

Jika disabitkan kesalahan boleh membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Irwan Shah Abdul Samat yang mencadangkan hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh dengan alasan kesalahan yang dilakukan membabitkan kepentingan awam.

Tertuduh diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork memohon hukuman minimum dikenakan terhadap tertuduh tanpa penjara memandangkan tertuduh menghidap darah tinggi kronik, selain perlu menanggung seramai 50 pelajar tahfiz.

Mahkamah turut membenarkan wang baki di dalam akaun syarikat tersebut sebanyak RM16,402.93 dilucut hak.

Sinar Harian pada 31 Januari lalu, melaporkan tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, atas sembilan tuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada Pertubuhan Keselamatan sosial (Perkeso) bagi menuntut insentif Program Penjana Kerjaya 2.0 melibatkan nilai RM267,400.

Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah setelah pertuduhan dibacakan di hadapan hakim yang sama.