Lelaki bergelar Datuk didakwa tipu tawaran projek kerajaan RM8 juta

Tertuduh ketika diringi pegawai polis sebaik tiba di pekarangan mahkamah pada Selasa.
Tertuduh ketika diringi pegawai polis sebaik tiba di pekarangan mahkamah pada Selasa.
A
A
A

KUALA PILAH - Seorang bekas setiausaha sulit kepada bekas timbalan menteri didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan memperdayakan seorang lelaki berhubung tawaran tender projek kerajaan bernilai RM8 juta.

Tertuduh, Datuk Nasarudin Mahamud, 57, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norma Ismail.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menipu lelaki berkenaan supaya mempercayai bahawa dia membuat urusan suatu tawaran tender projek kerajaan dengan harga RM8 juta dan dengan curangnya mendorong lelaki tersebut mempercayai tertuduh bertanggungjawab menguruskan projek itu.

Lelaki berkenaan memindahkan wang berjumlah RM382,000 ke dalam akaun milik tertuduh dan serahan wang tunai sebanyak RM67,000 yang mana dia tidak berbuat demikian sekiranya tidak diperdayakan oleh tertuduh.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah pejabat Mukim Tampin Tengah antara 6 hingga 18 Oktober 2022.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan suatu kesalahan di bawah Seskyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukan penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Eddin Syazlee Shith secara pro bono dan Syed Amirul Syed Edros.

Eddin Syazlee memohon mahkamah untuk mempertimbangkan beberapa keadaan antaranya kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan walaupun tidak boleh dijamin namun penipuan adalah dalam kategori paling rendah.

"Tertuduh melalui proses sukar, baru keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) berpindah ke hospital kerajaan dan menghadapi kesulitan membayar bil di IJN. Beliau mempunyai masalah jantung kritikal yang memerlukan urusan segera menjalani pembedahan.

"Tertuduh juga mempunyai penyakit buah pinggang tahap empat. Keadaan ini menyebabkan beliau (tertuduh) memerlukan kebenaran jamin untuk mendapatkan rawatan susulan untuknya buat persiapan.

"Untuk rekod saya menawarkan diri secara probono tanpa bayar," katanya.

Syed Amirul pula dalam rayuannya menyatakan tertuduh juga memberikan kerjasama yang baik kepada polis berhubung kes berkenaan dan tidak wujud keadaan risiko melarikan diri.

"Tertuduh mengalami kesukaran kewangan dan mohon jaminan paling minimum," katanya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 4 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan membenarkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin.