Contohi Piagam Madinah dalam tentukan pimpinan negara

Abdul Hadi
Abdul Hadi
A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat Malaysia yang menjalani ibadah haji dan umrah perlu menjadikan Piagam Madinah sebagai contoh dalam menentukan pentadbiran nagara yang berasaskan syariat Islam.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, piagam tersebut secara jelas meletakkan ketinggian Islam yang berkuasa dalam menentukan kerjasama antara masyarakat majmuk dengan wajib menolak sekularisme, liberalisme, ‘Malaysian Malaysia’ dan rantaiannya.

“Kita telah meletakkan dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan (Perkara 3 [1]), terpulang kepada kita untuk mempertahankan Islam sebagai al-din (mengikut bahasa al-Quran),” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Isnin.

Ujar Ahli Parlimen Marang itu, dengan menelusuri piagam bersejarah itu, ia mengajarkan muslim untuk mengadakan kesepakatan bersama golongan bukan Islam dan bukannya memberi taat setia kepada mereka.

Jelasnya, konsep negara majmuk dalam kaca mata Islam adalah menegakkan sebuah negara masyarakat majmuk itu berkonsepkan kepimpinan yang beribadat, berzakat (ekonomi yang adil), amar ma‘ruf (berkebajikan), nahi munkar dan berwawasan akhirat.

“Oleh itu, para peminat haji dan umrah wajib mengetahui dengan mempelajari secara ikhlas kerana ALLAH SWT.

“Menjadi pengikut Rasulullah SAW yang sebenar dan setia, bukan sekadar separuh perjalanan,” katanya.

Abdul Hadi turut meluahkan kekhuatiran terhadap sikap sesetengah jemaah haji atau umrah yang tidak serius dalam menjalani ibadah berkenaan.

Ujar beliau, perkara tersebut dibimbangi menghilangkan kehebatan mereka.