Pemandu van lawan arus sebabkan kemalangan ditahan

Rakaman video tular memaparkan sebuah van melarikan diri di Pasar Pekan Ampang, di sini, pada Sabtu.
Rakaman video tular memaparkan sebuah van melarikan diri di Pasar Pekan Ampang, di sini, pada Sabtu.
A
A
A

AMPANG - Polis menahan seorang lelaki yang memandu sebuah van secara melawan arus sehingga menyebabkan kemalangan lima buah kenderaan di Pasar Pekan Ampang, di sini, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya terkesan satu video tular di media sosial yang memaparkan seorang pemandu sebuah van cuba merempuh orang awam di hadapan sebuah restoran.

"Siasatan awal mendapati, kejadian berlaku pada jam 12.14 tengah hari, Sabtu, kemalangan dipercayai berlaku apabila van yang dipandu itu melarikan diri selepas melanggar sebuah kereta di Jalan Ampang.

"Semasa sampai di lokasi kejadian van yang dipandu secara melawan arus itu telah melanggar empat buah kereta lain yang berada di kiri dan kanan jalan dan terus melarikan diri melalui jalan di belakang bangunan kedai Pekan Ampang," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mohd Azam berkata, kemalangan itu telah menyebabkan kerosakan kepada kesemua kenderaan terlibat.

"Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu, kesemua pemilik kenderaan yang terlibat telah hadir buat laporan polis pada hari yang sama untuk siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, pemandu van berusia 40-an itu juga telah tampil membuat laporan polis di Balai Trafik Ampang Jaya, di sini, pada jam 12.29 tengah hari, Ahad.

"Siasatan awal mendapati pemandu van tersebut melarikan diri kerana telah dikejar oleh orang awam yang berada di tempat kejadian dan bimbang keselamatan diri," katanya.

Mohd Azam berkata, pihaknya telah menahan lelaki itu untuk membantu siasatan.

"Ujian saringan urin terhadap lelaki itu didapati negatif. Suspek dibawa ke Hospital Ampang untuk mengambil sampel darah bagi tujuan pemeriksaan kandungan alkohol.

"Semakan rekod mendapati suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau, tujuh rekod saman trafik yang tertunggak dan dua waran tangkap trafik," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Siasatan juga dijalankan di bawah Seksyen 54 akta sama kerana gagal berhenti selepas kemalangan," katanya.