'Derma darah macam tukar minyak hitam'

Jamsari menderma darah kali ke-107 di Hospital Tuanku Jaafar Seremban baru-baru ini.
Jamsari menderma darah kali ke-107 di Hospital Tuanku Jaafar Seremban baru-baru ini.
A
A
A

SEREMBAN – Bukan mudah untuk seseorang tampil menderma darah, apatah lagi untuk menjadikannya sebagai satu rutin.

Bagaimanapun bapa kepada lima anak, Jamsari Mohamad, 53, menjadikan amalan mulia itu sebagai kewajipan dalam dirinya sejak berusia 19 tahun dan kini sudah menderma kali ke-107.

Menurut Jamsari yang merupakan bekas penghulu, dia menderma darah untuk kesihatan selain mahu membantu orang ramai yang memerlukan darah.

"Bagi saya derma darah ini macam tukar minyak hitam kereta yang perlu dilakukan secara berkala.

"Ini kerana apabila kita menderma darah, selepas 60 hari sel darah baharu akan terbentuk dan semestinya darah dalam badan kita sentiasa segar," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Malah katanya, dia bersyukur dalam usianya sekarang tidak pernah berdepan masalah kesihatan yang serius.

Buku derma darah Jamsari.
Buku derma darah Jamsari.

Justeru itu katanya, masyarakat sangat digalakkan menderma darah kerana ia baik untuk kesihatan.

"Kalau sebelum ini saya akan menderma enam kali setahun tetapi selepas berakhirnya perintah kawalan pergerakan (PKP) kita hanya dibenarkan menderma empat kali saja setahun.

"Tapi kalau ada peluang untuk derma lebih dari itu, saya akan derma saja kerana ia dah jadi satu kewajipan bagi saya," katanya.

Selain itu, Jamsari turut menyangkal persepsi sesetengah masyarakat yang menderma darah membuatkan seseorang itu cepat gemuk.

Katanya, yang pentingnya setiap orang perlu mengamalkan gaya hidup sihat.