Isu laungan azan: Polis beri amaran jangan cetus provokasi

Polis minta orang ramai tidak mensensasikan atau membuat provokasi berhubung isu laungan azan di masjid kawasan Sungai Puyu, Butterworth.
Polis minta orang ramai tidak mensensasikan atau membuat provokasi berhubung isu laungan azan di masjid kawasan Sungai Puyu, Butterworth.
A
A
A

KEPALA BATAS - Polis memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang cuba mensensasikan atau membuat provokasi berhubung isu laungan azan di masjid kawasan Sungai Puyu, Butterworth.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Superintenden Siti Nor Salawati Saad berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang sengaja mencetuskan kemarahan hingga menimbulkan isu perkauman atau kegusaran awan.

Menurutnya, pihaknya terkesan dengan hantaran dibuat di media sosial hari ini yang menyeru masyarakat Islam memberi sokongan dan bantahan berkaitan isu pembesar suara laungan azan di masjid sekitar Sungai Puyu.

"Pada 28 Jun lalu, satu laporan polis telah dibuat oleh individu berkaitan tindakan seorang lelaki warga tempatan yang tidak dikenali meminta pengadu memperlahankan bunyi azan kerana mendakwa terlalu kuat hingga mengganggu penduduk sekitar.

"Susulan laporan yang diterima, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah SPS telah membuka kertas siasatan dan masih menjalankan siasatan di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata, bagi mereka yang dikesan sengaja mensensasikan isu berkenaan dan melakukan provokasi boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Katanya, sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman denda RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.