Tiada pelepasan nyamuk aedes berwolbachia di Negeri Sembilan

Tiada pelepasan nyamuk aedes berwolbachia di Negeri Sembilan seperti yang ditularkan. - Foto fail Bernama
Tiada pelepasan nyamuk aedes berwolbachia di Negeri Sembilan seperti yang ditularkan. - Foto fail Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan (KKM) menegaskan tiada pelepasan nyamuk aedes berwolbachia di Negeri Sembilan buat masa ini seperti yang ditularkan menerusi video di TikTok.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Norhayati Rusli sebaliknya berkata, video yang tular itu adalah berkaitan dengan Program Eradikasi Malaria dan tiada kaitan dengan Program Kawalan Denggi menggunakan nyamuk aedes berwolbachia.

"Merujuk kepada video tular yang dikongsikan di media sosial TikTok mengenai pelepasan nyamuk aedes berwolbachia di Negeri Sembilan, KKM berterima kasih kepada pemilik akaun tersebut kerana prihatin dengan situasi semasa denggi di Malaysia.

"Pihak KKM juga ingin menarik perhatian masyarakat kepada peranan komuniti dalam pencegahan denggi iaitu penjagaan kebersihan persekitaran di kawasan kediaman dan kejiranan, penghapusan tempat pembiakan nyamuk aedes dan penggunaan semburan aerosol dalam premis serta penggunaan alat pelindung diri (PPE) di luar premis seperti bahan penghalau nyamuk,” katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi membetulkan beberapa kenyataan tidak tepat dalam video berkenaan.

Selain itu, beliau turut membetulkan fakta mengenai nyamuk aedes yang didakwa hanya menghisap darah untuk hidup.

Menurutnya, nyamuk aedes betina memerlukan darah untuk perkembangan telur, namun kedua-dua nyamuk aedes jantan dan betina memerlukan cecair manisan (nektar) pada tumbuhan untuk kelangsungan hidup.

Dr Norhayati juga menjelaskan mengenai wolbachia yang merupakan sejenis bakteria dijumpai secara semula jadi dalam 60 hingga 70 peratus serangga di alam sekitar dan bakteria wolbachia yang disuntik ke dalam nyamuk aedes aegypti boleh merencat replikasi virus denggi, seterusnya menghalang penularan virus tersebut kepada manusia.

Beliau berkata, nyamuk aedes berwolbachia tidak memberi kesan sampingan kepada nyamuk atau persekitaran dan tidak diubah suai secara genetik.

Katanya hasil penyelidikan di Malaysia dari 2017 hingga 2019 menunjukkan penurunan kes denggi di lokaliti pelepasan nyamuk aedes berwolbachia antara 50 dan 80 peratus berbanding lokaliti tanpa pelepasan nyamuk berkenaan.

"Operasi Pelepasan Nyamuk Aedes berWolbachia di Malaysia telah dilancarkan pada 2019 sebagai strategi tambahan bagi menangani peningkatan kes dan wabak denggi di lokaliti yang melaporkan kes yang tinggi.

"Kaedah ini juga telah dilaksanakan di Australia, Indonesia dan Brazil yang menunjukkan penurunan kes antara 70 dan 76 peratus di lokaliti pelepasan nyamuk aedes berwolbachia. Di Malaysia, sehingga kini operasi ini telah dilaksanakan di tujuh negeri melibatkan 28 lokaliti,” katanya.

Beliau berkata, setelah dua tahun pelaksanaan operasi pelepasan nyamuk aedes berwolbachia, 16 daripada 19 lokaliti pelepasan (84.2 peratus) (kohort 1 dan kohort 2) menunjukkan trend penurunan kes demam denggi antara 33 dan 100 peratus.

Katanya, satu daripada baki tiga lokaliti telah menunjukkan kekal tiada kes denggi, manakala dua lokaliti lagi menunjukkan tiada peningkatan kes denggi dengan bilangan kes yang dilaporkan juga rendah.

Dr Norhayati turut menasihatkan orang ramai agar mendapatkan maklumat yang tepat berkaitan operasi pelepasan nyamuk aedes berwolbachia di Malaysia menerusi laman sesawang www.infosihat.gov.my atau menghubungi hotline KKM di talian 03-88833231 dari Isnin hingga Jumaat bermula 8 pagi hingga 5 petang.

Orang ramai juga boleh melayari pautan laman sesawang iDengue di http://idengue.mysa.gov.my/. bagi mendapatkan maklumat terkini denggi. - Bernama