Lapor SPRM jika benar dakwaan pegawai terlibat rasuah

Kenyataan media KPISM pada Sabtu
Kenyataan media KPISM pada Sabtu
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing perlu melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika benar pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terlibat dengan rasuah seperti yang didakwa.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM), Khairil Niza Khairuddin berkata, tindakan King Sing yang membuat kenyataan media berhubung perkara itu boleh dianggap sebagai tidak berasas kerana tiada bukti dan hanya bertujuan untuk mengalih tumpuan dari isu utama.

“Sebagai seorang orang kenamaan, beliau seharusnya lebih menghormati undang-undang negara dan tidak mengganggu penjawat awam menjalankan tugas mereka.

“Dalam hal ini, pegawai JIM yang bertugas ketika itu sudah semestinya mengetahui dengan lebih jelas mengenai apa yang berlaku dan mengambil tindakan berdasarkan peraturan semasa yang sedang berkuatkuasa,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan suasana di balai ketibaan KLIA bertukar kecoh apabila seorang individu dipercayai menteri cuba membebaskan seorang pelawat China yang ditahan Jabatan Imigresen pada Khamis.

Pada Jumaat, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat mendesak pihak berkuasa dan kerajaan melakukan siasatan terperinci berkenaan isu tular berkenaan.

Dalam pada itu, KPISM, bertegas tiada mana-mana pihak seharusnya terlibat dan mengganggu tugas penguatkuasaan dan pelaksanaan undang-undang oleh JIM dan mana-mana pihak berkuasa di negara ini.

“Dalam hal ini, pihak KPISM senada dengan saranan oleh Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Perkhidmatan Awam (Cuepacs) agar satu siasatan terperinci dilakukan oleh kerajaan berkenaan isu tular mengenai seorang Menteri yang didakwa membuat kecoh serta menceroboh dewan ketibaan di KLIA baru-baru ini.

“KPISM juga bersetuju dengan tindakan pihak JIM yang mengambil tindakan serta-merta memulakan siasatan berkenaan isu tersebut

“Pihak KPISM tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan polis jika perkara sama seperti ini berulang,” menurutnya.

ARTIKEL BERKAITAN

Tular menteri didakwa buat kecoh di KLIA

Belum terima laporan menteri buat kecoh di KLIA - Anthony

Kerajaan, pihak berkuasa digesa siasat kes menteri buat kecoh di KLIA - Cuepacs

Menteri akui kekecohan, dakwa berlaku isu rasuah di KLIA