Ketua Pemuda MIC Selangor keluar parti

P Punithan
P Punithan
A
A
A

SHAH ALAM - Kemelut dalaman MIC dilihat semakin parah apabila dua pemimpin parti 'angkat kaki' meninggalkan parti berkenaan dalam tempoh seminggu.

Terbaharu Ketua Pemuda MIC Selangor, P Punithan pada Jumaat selepas tiga hari bekas Naib Presiden MIC, Datuk Sivaraj Chandran mengumumkan peletakan jawatannya.

Sivaraj pada Selasa melepaskan jawatan sebagai Ketua MIC Cawangan Bukit Kuchai Baru, Puchong selepas dianggap sebagai ancaman kepada parti itu manakala Punithan tidak menjelaskan tindakannya melepaskan jawatan disandang.

Dalam surat bertarikh 30 Jun kepada Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran, Punithan turut memaklumkan untuk melepaskan kedudukannya sebagai Ketua Pemuda MIC Cawangan Bandar Baru Batang Berjuntai, Kuala Selangor.

Bagaimanapun, tiada sebarang penjelasan diberikan berhubung tindakannya itu dalam surat berkenaan.

"Setelah berkhidmat dan menjawat pelbagai jawatan di bawah MIC selama 15 tahun termasuk pernah dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa MIC Pusat (CWC) serta pernah menjawat jawatan sebagai Setiausaha Pemuda MIC Kebangsaan, Ketua Penerangan Pemuda MIC Kebangsaan dan banyak lagi jawatan utama di sayap Pemuda peringkat kebangsaan, negeri dan bahagian, hari ini saya membuat keputusan yang berat untuk meletakkan semua jawatan saya dalam MIC," katanya dalam surat berkenaan.

Dalam pada itu, Punithan turut merakamkan ucapan terima kasih kepada kepimpinan MIC di semua peringkat, khususnya sayap Pemuda MIC Selangor, yang bersama-sama beliau serta memberi sokongan serta kepercayaan sepanjang karier politiknya ketika bersama parti terbesar kaum India itu.

"Saya percaya saya telah memberikan khidmat yang terbaik serta komitmen yang tinggi sepanjang 15 tahun saya berkhidmat bersama MIC," katanya lagi.

Pada masa sama, beliau berharap MIC akan terus menjadi suara masyarakat India di bawah Kerajaan Perpaduan.

Punithan menyertai MIC pada 2008 sebelum diberi kepercayaan untuk menjawat beberapa jawatan penting termasuk Ahli CWC bagi penggal 2018 hingga 2021.