Korban kaki kiri seusia 12 tahun akibar kanser tulang

Aksi Wan Arif Ferdaus ketika mewakili negeri Perak dalam Kejohanan Bola Sepak Kudung Malaysia baru-baru ini. - Foto ihsan Wan Arif Ferdaus
Aksi Wan Arif Ferdaus ketika mewakili negeri Perak dalam Kejohanan Bola Sepak Kudung Malaysia baru-baru ini. - Foto ihsan Wan Arif Ferdaus
A
A
A

KAMPAR - Siapa sangka seorang remaja yang kehilangan kaki kiri ketika berusia 12 tahun akibat kanser tulang kini bergelar atlet.

Wan Arif Ferdaus Wan Ahmad Affendy, 19, pernah mendapat perhatian rakyat Malaysia kerana berjuang melawan penyakit kanser tulang dihadapinya.

Keputusan untuk membuang kaki kirinya tidak pernah dikesali biarpun menjadi serba kekurangan berbanding insan biasa yang lain.

"Saya rasanya keputusan itu merupakan pengorbanan terbesar dalam hidup. Saya buat keputusan itu supaya saya boleh jalan macam orang biasa dan buat benda yang orang biasa boleh buat.

"Paling penting, jangan malu dengan keadaan diri kita dan anggap ia satu anugerah sebab tak semua orang boleh lalui dan rasa apa yang kita pernah rasa. Jangan malu untuk tonjolkan diri atau bakat walaupun kita OKU," katanya.

Sementara itu, impiannya mahu menjadi pemain bola sepak akhirnya menjadi kenyataan apabila dipilih mewakili Persatuan Bola Sepak Orang Kudung Negeri Perak dalam Kejohanan Bola Sepak Kudung Malaysia baru-baru ini.

Bercerita mengenai pengalaman baharu itu, Wan Arif mengakui gembira dengan pengalaman baharunya sebagai pemain bola sepak itu.

Wan Arif Ferdaus (tiga dari kanan) menerima sumbangan daripada Mohd Azlan baru-baru ini.
Wan Arif Ferdaus (tiga dari kanan) menerima sumbangan daripada Mohd Azlan baru-baru ini.

"Bola sepak memang sukan paling saya minat sebab berpasukan. Tak sangka impian itu kini jadi kenyataan. Saya seronok bila dapat buat latihan bersama kawan-kawan.

"Ada waktu tertentu sebenarnya saya berlatih bersama rakan-rakan di padang. Jika berlatih sendiri lebih kepada meningkatkan kecergasan dan stamina," katanya.

Mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sungai Petani ini turut mengimpikan bermain dalam kejohanan di peringkat antarabangsa mewakili Malaysia seterusnya mengharumkan nama negara suatu hari nanti.

Sebelum ini, Wan Arif Ferdaus menerima sumbangan Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan Perak, Mohd Azlan Helmi bagi menampung dana pembelian kaki palsunya yang rosak.

Pada tahun 2013, Sinar Harian pernah menyiarkan kisah kecekalan Wan Arif Ferdaus dalam melawan penyakit kanser tulang dihadapinya itu.

Biarpun dalam kesakitan, dia tetap hadir ke sekolah sehingga diberikan Anugerah Murid Gigih 2013 daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Toh Indera Wangsa Ahmad, Batu Gajah.