Tujuh jemaah haji tidak jalani wukuf

Seramai tujuh daripada 31,600 jemaah haji Malaysia tidak dapat menyempurnakan ibadah wukuf pada Selasa lepas.(Gambar hiasan) - Foto AFP
Seramai tujuh daripada 31,600 jemaah haji Malaysia tidak dapat menyempurnakan ibadah wukuf pada Selasa lepas.(Gambar hiasan) - Foto AFP
A
A
A

MAKKAH - Seramai tujuh daripada 31,600 jemaah haji Malaysia tidak dapat menyempurnakan ibadah wukuf pada Selasa lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, tiga jemaah haji berada di hospital Arab Saudi kerana koma dan empat di pusat rawatan Tabung Haji (TH) Makkah akibat masalah kesihatan mental.

Beliau berkata dua jemaah haji yang koma disebabkan serangan strok dan seorang lagi akibat radang paru-paru akan terus menerima rawatan di fasiliti kesihatan Arab Saudi sehingga doktor membenarkan mereka pulang ke tanah air.

"Seramai 54 pesakit pula telah dibawa berwukuf di dalam enam bas khas menerusi program Safari Wukuf," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat rawatan TH Makkah di sini.

Dalam pada itu, beliau berkata, jemaah haji Malaysia kini berada di Mina, kira-kira enam kilometer dari sini untuk melakukan ibadah melontar di tiga jamrah, iaitu fasa terakhir haji.

Sementara itu, Mohd Na'im sekali lagi mengingatkan rakyat Malaysia supaya menyemak dengan terperinci individu atau syarikat yang melakukan badal haji bagi mengelak ditipu.

"Isu berkaitan badal haji, penipuan ini dah banyak kali dan kita pun dah banyak kali beri peringatan supaya berhati-hati," katanya menambah penipuan badal haji terus berlaku saban tahun berkemungkinan disebabkan sifat rakyat Malaysia yang berhati lembut dan senang mempercayai seseorang sehingga mudah tertipu.

Menurutnya, rakyat boleh menggunakan perkhidmatan disediakan syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang dilesen oleh TH untuk badal haji berbanding syarikat atau individu tanpa lesen yang memungkinkan berlakunya penipuan.

Badal haji atau ganti haji bermaksud seseorang yang telah melakukan haji untuk dirinya lalu melaksanakan haji untuk orang lain sama ada yang telah meninggal dunia atau sakit yang tiada harapan sembuh untuk melakukan ibadah haji di tanah suci. - Bernama