Mazlan buat rombakan kecil Bersatu Johor

Mazlan (tengah) ketika menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang pihak yang terlibat dalam program berkenaan di sini hari ini.
Mazlan (tengah) ketika menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang pihak yang terlibat dalam program berkenaan di sini hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - ADUN Puteri Wangsa, Mazlan Bujang tidak menafikan akan melakukan sedikit rombakan kecil dalam pentadbiran Bersatu Johor selepas memulakan tugas secara rasmi sebagai Pengerusi Bersatu negeri itu pada 25 Mei ini.

Bagaimanapun, Mazlan memberitahu, rombakan yang ingin dibuat itu hanya melibatkan kekosongan jawatan yang ditinggalkan beberapa pemimpin parti itu.

"Ada rombakan... sedikit sahaja, sebab kebetulan ada kekosongan.

"Macam saya dulu, sebagai bendahari jadi Pengerusi, jadi adalah kekosongan, tapi rombakan kecil... bukan drastik.

"Untuk jawatan Timbalan Pengerusi hanya akan dipilih oleh Presiden, tidak boleh diubah, yang boleh cuma Setiausaha dengan Bendahari sahaja... saya akan bincang dalam mesyuarat, semuanya biarlah mengikut majoriti, sebab keharmonian dalam parti kita kena jaga," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa menghadiri Program Desa Sejahtera Muafakat Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Kampung Sinaran Baru di sini hari ini.

Mazlan berkata, perkara membabitkan rombakan pentadbiran parti itu juga tidak akan dibuat secara tergesa-gesa dan mengikut saluran yang betul.

"Buat (rombakan) dalam mesyuarat pertama itu mungkin tidaklah, mungkin kita akan bincang supaya kita dapat kata sepakat yang lebih harmoni kerana saya tidak mahu jadikan Bersatu ini parti saya, syok sendiri.

Artikel Berkaitan:

"Biarlah pemimpin politik ini dia sedar bahawa kita ini sebenarnya adalah wakil kepada mereka... saya pemimpin Bersatu wakil Bersatu, jadi saya tidak boleh buat keputusan hanya mahu memuaskan hati saya," katanya.

Dalam perkembangan lain, berhubung desas-desus akan wujud satu parti politik baharu dari negeri ini, Mazlan berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah selain mengalu-alukan penubuhan parti tersebut.

"Sebagai Malaysia Baru, kita memang mengalu-alukan sangat kalau ada parti baru.

"Saya dengar parti ini ada golongan atasan... saya tidak tahulah maksud golongan atasan tu.

"Saya mengalu-alukan sangat kerana apabila golongan atasan masuk politik, barulah mereka faham kesengsaraan rakyat yang menghadapi tekanan ekonomi dan sebagainya. Kalau tidak golongan atasan seperti ini mereka hanya duduk atas kayangan," katanya.