Istilah gelombang hijau bertujuan timbulkan Islamofobia

Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang
A
A
A

SHAH ALAM - Penggunaan istilah 'gelombang hijau' terhadap kemajuan Pas dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) khususnya oleh DAP dilihat mempunyai tujuan yang songsang terhadap Islam.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Islam menjadi dasar dan matlamat perjuangan parti itu, sebagaimana dalam Perlembagaan Pas bahawa hukum tertingginya ialah al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qiyas yang nyata.

Bagaimanapun, katanya, kejayaan parti itu dianggap negatif kerana Islamnya.

"Pas boleh mencapai kerusi terbanyak dalam kalangan semua parti politik, di samping berjaya menawan dan mentadbir beberapa kerajaan negeri walaupun dalam bidang kuasa yang terbatas mengikut konsep federalisme yang banyak kecacatannya.

"Bagaimanapun, sedikit konsep pentadbiran Islam telah menunjukkan Pas sebagai sebuah parti yang paling berintegriti. Adakah itu alasan yang dianggapnya adalah berbahaya?" katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah Hadi, pihak berkenaan sengaja menunjukkan kekaburan terhadap membarahnya segala salah laku, rasuah, kebocoran, menipu dan sebagainya dalam diri mereka sendiri, sehinggakan boleh berpakat menubuhkan kerajaan yang dinamakan perpaduan sesama mereka.

Sedangkan katanya, mereka bersama-sama bersifat dengan perkara yang diisytiharkan perang oleh mereka sendiri dengan ucapan yang berkobar-kobar.

"Hakikatnya, istilah Kerajaan Perpaduan yang dicipta adalah berlainan daripada istilah sebenar ilmu politik dalam semua bahasa.

"Kini, berlaku tuduh-menuduh sesama mereka. Segala rasuah dan salah laku bersama mereka semua didedahkannya," ujarnya.

Jelas Ahli Parlimen Marang itu, jika menegakkan Islam dianggap satu kesalahan yang menakutkan, tanpa melihat secara benar dan ikhlas mencari kebenaran dengan mengkaji Islam mengikut budaya ilmu, serta membaca sejarah keemasannya ketika hukum Islam diamalkan dengan sempurna yang menyerlahkan keadilannya kepada semua manusia.