Dakwaan kehilangan kuota tambahan haji berniat jahat: Mujahid

Dr Mujahid Yusof
Dr Mujahid Yusof
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menegaskan dakwaan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berhubung kehilangan kuota tambahan haji sebanyak 10,000 orang adalah fitnah dan berniat jahat untuk menakutkan umat Islam.

Beliau berkata, kuota jemaah haji Malaysia kekal seperti biasa iaitu sebanyak 30,200 orang dan permohonan kuota tambahan sedang diusahakan kerajaan dan Lembaga Tabung Haji.

“Kenyataan yang dibuat merupakan satu fitnah berniat jahat untuk menakutkan umat Islam dan ia tidak benar sama sekali. Ini kerana kuota haji yang diberi kepada Malaysia kekal sebanyak 30,200 orang.

“Bagi kuota tambahan, saya telah pun menjelaskan bahawa kerajaan Malaysia sedang berusaha untuk mendapatkan kuota tambahan dan ia tertakluk kepada budi bicara Arab Saudi untuk meluluskannya,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.

Mujahid berkata, Arab Saudi tidak mempunyai tarikh spesifik untuk memberikan jawapan berhubung permohonan kuota tambahan yang telah dibuat.

“Menurut rekod Tabung Haji, mereka pernah menerima jawapan berhubung kuota tambahan dari pihak Arab Saudi semasa bulan Ramadan, Syawal, Zulkaedah malah adakalanya jawapan diterima ketika bulan Zulhijjah,” katanya.

TH turut menyangkal dakwaan Asyraf sambil menegaskan dakwaan itu mengelirukan umat Islam.

Asyraf semasa berucap dalam majlis Pentas Perdana Penyatuan Ummah di Ambang Setahun Malaysia Baharu yang dihadiri kira-kira 1,000 orang di Taman Wira Mergong, Alor Setar malam semalam berkata, umat Islam kehilangan kuota tambahan sebanyak 10,000 orang untuk menunaikan haji setiap tahun berikutan hubungan dingin antara kerajaan PH dengan Arab Saudi.

Artikel Berkaitan:

Ketika mendedahkan perkara itu, Asyraf berkata, di bawah kepimpinan BN, Arab Saudi tidak pernah gagal memberikan keistimewaan itu kepada Malaysia.

Malah beliau yang merupakan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, pada 2013, Arab Saudi bermurah hati memberikan kuota tambahan setengah kali ganda lagi iaitu sebanyak 15,000 orang.