Saya tak akan minta maaf pada empat ahli akademik: Saifuddin

Saifuddin merakamkan gambar bersama penerima pada Majlis Aspirasi Kecemerlangan Akademik dan Pelancaran Program Sinar Kasih Peringkat Parlimen Indera Mahkota di Swiss Garden Hotel Kuantan di sini, hari ini.
Saifuddin merakamkan gambar bersama penerima pada Majlis Aspirasi Kecemerlangan Akademik dan Pelancaran Program Sinar Kasih Peringkat Parlimen Indera Mahkota di Swiss Garden Hotel Kuantan di sini, hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Tiada permohonan maaf untuk mereka, demikian tegas Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah terhadap empat ahli akademik yang terlibat dalam memberi penerangan kepada Majlis Raja-Raja berhubung Statut Rom.

Beliau berkata, biarpun terdapat desakan untuknya memohon maaf, tetapi perkara itu tidak akan berlaku.

"Permohonan maaf itu sebenarnya perlu dilakukan oleh mereka kerana telah memalsukan fakta, bukan saya.

"Mereka telah menggunakan kedudukan mereka untuk memanipulasi laporan Status Rom," katanya kepada media selepas Majlis Aspirasi Kecemerlangan Akademik dan Pelancaran Program Sinar Kasih Peringkat Parlimen Indera Mahkota di Swiss Garden Hotel Kuantan di sini, hari ini.

Saifuddin berkata, ketegasan itu dilihat perlu dilakukan bagi menegakkan budaya roh dan ilmu yang mampu menyelamatkan umat Islam dari pemalsuan pendusta ilmu.

"Kerana itu kita panggil mereka 'profesor kangkung' sebab mahu bezakan profesor yang asli dengan mereka (profesor) yang memberikan laporan salah untuk menakutkan orang ramai.

"Gelaran itu perlu dikekalkan bagi kita membezakan ahli akademik tulen dengan yang tipu," katanya.

Saifuddin juga dengan tegas tidak akan menyambut dan meraikan empat ahli akademik ini.

Artikel Berkaitan:

"Kita perlu menghentikan perkara ini kerana tidak mahu setiap kali kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengemukakan perkara baharu, orang-orang ini akan muncul semula dan memanipulasi fakta seperti kes ini," katanya lagi.

Beliau mengulas kritikan pelbagai pihak terhadapnya selepas dilihat mengeluarkan kenyataan tidak wajar apabila melabelkan empat ahli akademik yang terlibat dalam memberi penerangan kepada Majlis Raja-Raja berhubung Statut Rom sebagai ‘profesor kangkung’.

Dalam pada itu, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota menafikan mengenai tuduhan sesetengah pihak yang menuduh kerajaan PH mengenepikan Islam.

"Tuduhan tersebut tidak berasas, di bawah kerajaan PH Islam bukan sahaja terus membangun di Malaysia malah negara luar sudah mula melihat kekuatan Islam di bawah kepimpinan baharu.

"Contohnya, dari pihak saya... kita telah bawa banyak produk Islam Malaysia ke luar negara dan berjaya menarik dua buah negara besar iaitu Korea Selatan dan Argentina.

"Kalau dilihat dua buah negara ini bukanlah negara Islam, tetapi mereka berminat dengan sijil pengesahan halal kita dan kini sedang berurusan dengan JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia)," katanya.