Negeri Sembilan manfaat tempoh penggal, 5 negeri bubar awal

Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir menandatangani watikah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan di Istana Hinggap, pada Selasa. Turut sama, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddun Harun (kanan). - Foto Bernama
Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir menandatangani watikah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan di Istana Hinggap, pada Selasa. Turut sama, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddun Harun (kanan). - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Negeri Sembilan menjadi satu-satunya negeri memanfaatkan sepenuhnya tempoh mandat lima tahun bagi penggal ke-14 sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan secara rasmi, Sabtu ini.

Ia sekali gus menjadikan DUN Negeri Sembilan, negeri terakhir dan pelengkap kepada lima negeri yang telah dibubarkan bagi membolehkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh-tarikh penting kerana Pilihan Raya Negeri (PRN) perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN.

Tarikh pembubaran 36 DUN Negeri Sembilan itu diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun pagi Rabu selepas mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Kedudukan terkini DUN Negeri Sembilan sehingga pengumuman pembubaran ialah Pakatan Harapan (PH) menguasai 20 kerusi manakala Barisan Nasional (BN) 16 kerusi.

Sebelum ini, Kelantan menjadi negeri pertama dibubarkan pada 22 Jun lepas, enam hari lebih awal berbanding tempoh mandat berakhir hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Pas yang memerintah Kelantan sejak 1990, mengekalkan pentadbiran setelah memenangi 37 daripada 45 kerusi DUN, sementara BN memperoleh lapan.

Bagaimanapun, ADUN Ayer Lanas, Datuk Seri Mustapa Mohamed keluar daripada UMNO pada 18 September 2018, sebelum menyertai Bersatu pada 26 Oktober tahun yang sama.

Ia kemudian disusuli dengan pembubaran DUN Selangor pada 23 Jun lepas, iaitu dua hari lebih awal daripada tempoh mandat pada 25 Jun.

Komposisi DUN Selangor sehingga pembubaran terdiri PH (40), BN (lima), Bersatu (empat), Parti Bangsa Malaysia (PBM) (dua) manakala Pas, Pejuang, Warisan dan Bebas masing-masing satu kerusi, sementara satu kerusi iaitu DUN Batang Kali, diisytiharkan kosong setelah wakil rakyatnya tidak hadir ke persidangan DUN melebihi enam bulan.

Pembubaran DUN Pulau Pinang hari ini pula menyaksikan mandat lima tahun berakhir 35 hari lebih awal berbanding tarikh akhir pada 2 Ogos dan kedudukan terkini kerusi sehingga pembubaran menyaksikan PH memiliki 33 kerusi daripada keseluruhan 40 kerusi, BN (dua), Bersatu (empat) dan Pas satu kerusi.

DUN Terengganu yang turut dibubarkan hari ini, dua hari lebih awal dari tempoh mandat berakhir pada 30 Jun, menyaksikan Pas menguasai 22 daripada keseluruhan 32 kerusi DUN, manakala BN hanya memperoleh 10 kerusi.

Dalam pada itu, DUN Kedah yang juga dibubarkan hari ini, enam hari lebih awal dari tempoh mandat berakhir pada 4 Julai ini menyaksikan Perikatan Nasional (PN) menguasai 20 kerusi terdiri daripada PAS (14) dan Bersatu (enam) daripada keseluruhan 36 kerusi, sementara PH memenangi 10 kerusi, manakala BN dan Pejuang masing-masing dua kerusi.

Dua lagi kerusi kosong selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun dari PKR, Datuk Johari Abdul mengosongkan kerusinya pada 18 Disember tahun lepas, selepas dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat, sementara ADUN Belantek dari Pas, Datuk Mohd Isa Shafie meninggal dunia, pada 14 Jun lepas.

Enam negeri yang akan mengadakan PRN tahun ini ialah Pulau Pinang, Kedah, Terengganu, Negeri Sembilan, Selangor dan Kelantan. - Bernama