Mayat aktor Julian Sands ditemukan pergunungan San Gabriel

Sands, 65, dilaporkan hilang lebih lima bulan lalu selepas tidak pulang dari pendakian di kawasan Gunung Baldy pada 13 Januari. - Foto AP
Sands, 65, dilaporkan hilang lebih lima bulan lalu selepas tidak pulang dari pendakian di kawasan Gunung Baldy pada 13 Januari. - Foto AP
A
A
A

LONDON - Jasad manusia yang ditemukan di pergunungan San Gabriel di selatan California disahkan milik pelakon Britain Julian Sands, kata Jabatan Syerif Daerah San Bernardino kepada Agensi Berita Jerman (dpa).

Sands, 65, dilaporkan hilang lebih lima bulan lalu selepas tidak pulang dari pendakian di kawasan Gunung Baldy pada 13 Januari.

Jasad pelakon itu ditemukan di kawasan sama pada Sabtu oleh pendaki awam, dengan koroner kemudian mengesahkannya adalah Sands.

"Proses pengecaman mayat ditemukan di Gunung Baldy pada 24 Jun telah selesai dan dikenal pasti secara positif sebagai Julian Sands, 65 tahun dari Hollywood Utara,” kata jabatan itu.

Pelakon itu terkenal dengan wataknya dalam filem A Room With A View, Leaving Las Vegas dan Warlock serta penampilannya dalam siri televisyen 24, Smallville dan Banshee.

"Kami amat berterima kasih kepada pasukan pencari dan penyelaras yang berusaha tanpa jemu untuk mencari Julian," menurut kenyataan keluarga, yang dikeluarkan pada Rabu oleh jabatan sheriff.

Dalam tempoh lima bulan, usaha pencarian Sands terhalang akibat cuaca buruk dan dihentikan pada Mac kerana risiko runtuhan salji.

Lapan misi mencari melalui darat dan udara telah dilakukan termasuk usaha mencari oleh sukarelawan selama lebih 500 jam.

Sands menetap di Los Angeles sejak 2020. Dia dikenali kerana gemar akan aktiviti luar termasuk mendaki dan dianggap rakannya sebagai pendaki gunung yang berpengalaman dan cekap. - Bernama