Arahan pindah, kosongkan rumah hanya libatkan setinggan

Laporan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Arahan berpindah dan mengosongkan beberapa rumah di Kampung Dato' Hajah Hasnah Ahmad di sini hanya melibatkan rumah setinggan lama yang telah kosong dan didiami warga asing.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, bagi penduduk tempatan yang tinggal di rumah setinggan tersebut pula, mereka telah pun ditawarkan untuk berpindah ke Pangsapuri Lebuh Raya Penyuraian Timur (EDL) di sini.

Beliau berkata, arahan dibuat hasil daripada penilaian dan implikasi undang-undang menerusi ‘task force’ yang diwujudkan dengan pelbagai pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), selain libat urus yang diadakan bersama penduduk sebelum ini.

"Tindakan yang telah kita lakukan pada Isnin lepas adalah merobohkan 23 unit rumah setinggan di kampung berkenaan, tetapi ia hanya melibatkan rumah kosong dan warga asing," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke projek terbengkalai di Taman Desa Kempas di sini, pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan bahawa kira-kira 100 keluarga di kampung itu buntu selepas diarahkan pejabat tanah untuk berpindah dan mengosongkan rumah masing-masing dalam masa terdekat bagi memberi laluan kepada projek pembangunan.

Berhubung dakwaan penduduk bahawa Pangsapuri EDL yang ditawarkan mempunyai pelbagai masalah termasuk tidak mempunyai Sijil Perakuan Kelayakan (CF) yang sah untuk diduduki, Mohd Jafni berkata ia tidak benar kerana kediaman tersebut turut mempunyai Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).

"Dakwaan tiada CF itu tidak betul, lebih 2,000 unit pangsapuri itu juga ada CCC dan tiada masalah teknikal. Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM24 juta bagi menyelesaikan masalah seperti sistem perparitan dan bau najis di pangsapuri berkenaan," katanya.

Sementara itu, seorang wakil penduduk kampung itu Rahmad Dahman, 70, berkata, mereka menerima notis arahan tersebut pada 15 Mac lepas dan mempunyai tempoh 60 hari bagi mengosongkan tanah kerajaan itu.

"Kampung ini diteroka dan diduduki pada 1970-an. Kira-kira 10 tahun lepas kami ditawarkan untuk berpindah. Penduduk diberikan surat menduduki sementara di kampung ini kemudian membuat permohonan untuk kekal di kampung ini pada 2015 kerana tidak mahu berpindah tetapi tidak pernah mendapat maklum balas sehingga kini," katanya. - Bernama