Sakit hati insurans buat penolakan bayaran tanpa pengetahuan!

Tindakan pihak insurans melakukan pemotongan di luar pengetahuan pasti menyusahkan pelanggan. - Gambar hiasan
Tindakan pihak insurans melakukan pemotongan di luar pengetahuan pasti menyusahkan pelanggan. - Gambar hiasan
A
A
A

DALAM menanti tujuh hari lagi gaji masuk ke akaun, Merak Jalanan cukup sakit hati bila baki duit di dalam akaun tiba-tiba lenyap.

Ketika itu Merak Jalanan ingin membuat bayaran belian makanan di sebuah pasar raya marhaen tetapi ketika membuat swipe card, transaksi gagal.

Cubaan kedua dan ketiga juga gagal. Sungguh hairan dan apabila disemak melalui aplikasi perbankan, rupa-rupanya baki duit hanya tinggal RM13.

Ketika itu lantas terfikir adakah Merak Jalanan menjadi mangsa scammer kerana baki duit gaji yang cukup-cukup makan telah lenyap.

Jadi Merak Jalanan terpaksa membatalkan pembelian barangan itu dan terus pulang dengan seribu tanda tanya.

Apabila disemak, rupa-rupanya syarikat insurans membuat penolakan tanpa pengetahuan Merak Jalanan!

Biasanya wang bayaran insurans ditolak di atas pengetahuan pada awal bulan atau pada satu hari bulan. Tetapi lain pula yang berlaku apabila bulan ini, berlaku dua kali penolakan di mana penolakan kedua adalah tanpa pengetahuan Merak Jalanan.

Dan penjelasan daripada ejen mengatakan pihak ketiga yang diupah oleh syarikat insurans melakukan lima kali percubaan untuk mengutip bayaran bulanan.

Ini kerana jelasnya, syarikat insurans tidak mahu pelanggannya yang bermasalah, culas dalam membuat bayaran. Merak Jalanan cukup tidak berpuas hati kerana Merak Jalanan tidak pernah culas dalam membuat bayaran.

Rupa-rupanya situasi sama juga berlaku kepada dua kenalan Merak Jalanan. Mereka juga tidak berpuas hati sambil mengatakan mereka sekeluarga akan makan batu.

Jadi di sini Merak Jalanan ingin tahu, adakah Bank Negara mengetahui tindakan insurans melakukan pemotongan di luar pengetahuan pelanggan dan adakah ini tindakan yang dibenarkan?

Jika ini berterusan, kami sebagai pelanggan boleh membuat kesimpulan bahawa wang kami telah dicuri!