Tradisi yang tiada faedah

SETIAP kali musim perayaan menjelang, bunyi mercun kembali memecah kesunyian malam. Bagi sesetengah pihak, mercun dianggap simbol kemeriahan dan tradisi. Namun hakikatnya, lebih banyak mudarat berbanding manfaat.
Setiap tahun, ada mangsa yang cedera akibat mercun. Ada yang kehilangan jari, mengalami kecederaan mata, melecur teruk dan kecacatan kekal. Kebanyakan mangsa pula terdiri daripada kanak-kanak dan remaja yang teruja mencuba sesuatu yang berbahaya tanpa menyedari risikonya.
Mercun juga menyusahkan jiran. Letupan yang berterusan hingga awal pagi mengganggu waktu rehat bayi, warga emas, pesakit dan mereka yang perlu bekerja keesokan hari. Dalam masyarakat yang hidup berjiran, keseronokan segelintir pihak tidak sepatutnya mengorbankan ketenteraman orang lain.
Selain bunyi bising, mercun menjadikan kawasan perumahan kotor dan tidak terurus. Sisa kertas, plastik serta serpihan pembungkusan bertaburan di jalan raya, longkang dan halaman rumah. Selepas kemeriahan berakhir, orang lain pula terpaksa membersihkan kekotoran yang ditinggalkan.
Lebih membimbangkan, mercun boleh merosakkan harta benda. Kereta yang diparkir di luar rumah sering menjadi mangsa apabila percikan api atau mercun jatuh di atas kenderaan sehingga menyebabkan kerosakan cat dan cermin. Dalam kes lebih serius, ia boleh mencetuskan kebakaran rumah dan premis perniagaan.
Negara lain telah mengambil tindakan tegas. Di Singapura, penggunaan mercun oleh orang awam telah lama dilarang, manakala pertunjukan bunga api hanya dibenarkan melalui permit khas dan dikendalikan pihak profesional.
Di Mumbai, India pula pihak berkuasa mengharamkan mercun jenis roket dan mercun udara selepas kira-kira 200 insiden berkaitan mercun direkodkan dalam tempoh sambutan Deepavali tahun ini.
Justeru, sudah tiba masanya Malaysia mempertimbangkan pengharaman mercun oleh orang awam. Kemeriahan perayaan tidak diukur melalui letupan yang membahayakan nyawa, mengganggu jiran, mengotorkan persekitaran dan merosakkan harta benda.
Jika mudaratnya jauh lebih besar daripada manfaatnya, maka mercun wajar diharamkan demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
