TH nafi dakwaan hilang 10,000 kuota tambahan haji

Tabung Haji
Tabung Haji
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Haji (TH) menyangkal dakwaan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menyatakan bahawa Umat Islam kini telah hilang kuota tambahan haji sebanyak 10,000 orang.

TH melalui kenyataan media berkata, dakwaan Ashraf bukan sahaja memberi kekeliruan tetapi juga tidak benar sama sekali.

“Asyraf telah membuat kenyataan di atas dan dilaporkan oleh Utusan Malaysia Online pada 4 Mei 2019. Untuk pengetahuan umum, kuota rasmi yang diberikan Arab Saudi kepada Malaysia bagi tahun ini ialah sebanyak 30,200 orang.

“Bagi memendekkan waktu menunggu bakal haji, TH telah membuat permohonan kuota tambahan sebanyak 10,000 jemaah bagi musim haji tahun ini. Seperti kebiasaan, pemberian kuota tambahan ini adalah bergantung atas budi bicara kerajaan Arab Saudi,” kata TH hari ini.

TH berkata, sehingga kini, pihak institusi kewangan Islam itu masih menunggu keputusan rasmi mengenai permohonan yang telah dibuat.

“Berdasarkan rekod 10 tahun sebelum ini, pada tahun 2013, 2014, 2015 dan 2016, di mana permohonan kuota tambahan yang dibuat oleh TH tidak diluluskan,” katanya.

Sehubungan itu, TH menegaskan agar pihak-pihak dan individu berkaitan perlu berhenti mensensasikan komen serta analisis tidak tepat yang berbaur politik kerana ia boleh mengelirukan rakyat.

Asyraf semasa berucap dalam majlis Pentas Perdana Penyatuan Ummah di Ambang Setahun Malaysia Baharu yang dihadiri kira-kira 1,000 orang di Taman Wira Mergong, Alor Setar malam semalam berkata, umat Islam kehilangan kuota tambahan sebanyak 10,000 orang untuk menunaikan haji setiap tahun berikutan hubungan dingin antara kerajaan PH dengan Arab Saudi.

Artikel Berkaitan:

Ketika mendedahkan perkara itu, Asyraf berkata, di bawah kepimpinan BN, Arab Saudi tidak pernah gagal memberikan keistimewaan itu kepada Malaysia.

Malah beliau yang merupakan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, pada 2013, Arab Saudi bermurah hati memberikan kuota tambahan setengah kali ganda lagi iaitu sebanyak 15,000 orang.