Daerah termiskin di Sabah paling tinggi terima peruntukan - Rafizi

Rafizi Ramli.
Rafizi Ramli.
A
A
A

KOTA KINABALU - Daerah-daerah termiskin di Sabah paling tinggi menerima peruntukan daripada Kementerian Ekonomi, kata Menterinya, Rafizi Ramli.

Beliau berkata, sepanjang tempoh Januari hingga Jun tahun ini peruntukan kecil yang paling banyak diluluskan adalah kepada daerah yang disenaraikan termiskin di Sabah.

"Ada beberapa pendekatan segera yang kita buat contohnya kita pastikan bahawa mereka diberi keutamaan dalam permohonan projek-projek kecil.

"Dari segi pecahan saya tak ingat tetapi memang setakat ini peruntukan projek kecil dari Kementerian Ekonomi yang paling tinggi memang diberikan kepada daerah-daerah termiskin di Sabah.

"Ia untuk membolehkan mereka menjalankan kerja-kerja infrastruktur dan sebagainya," katanya ketika sidang akhbar selepas menghadiri sesi libat urus bersama kerajaan negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita perkembangan mengenai usaha kerajaan mengeluarkan daerah yang disenaraikan termiskin di Sabah.

Tambah beliau lagi, menerusi Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) juga beberapa projek secara berkelompok pada skala negeri turut dikenal pasti.

"Ini akan berjalan cuma kita juga kena menerima hakikat bahawa ada situasi unik hanya di Sabah kerana banyak yang miskin ini mereka duduk jauh daripada sesama sendiri atau kadang-kadang dipisahkan dari segi logistik.

"Jadi ia lebih mencabar untuk menjalankan program berkelompok yang ada, lebih banyak peluang untuk membantu dari segi kelestarian sebab itu peruntukan untuk membantu keluarga itu secara individu akan diteruskan.

"Mereka akan terus dikenal pasti untuk mengusahakan perniagaan kecil dan peruntukan itu adalah sebahagian daripada RM750 juta yang diperuntukan untuk membasmi kemiskinan tegas dan kemiskinan di negara ini," katanya.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, pihaknya berharap penerima bantuan rebut peluang yang diberikan menerusi insiatif yang dilaksanakan kerajaan.

"Kita perlukan penerima ini mengambil peluang itu kerana kadang-kadang cabaran kami di peringkat pelaksana ialah tidak semua yang mendapat peluang ini mahu turut serta kerana bagi mereka daripada mengusahakan perniagaan baik terima bantuan bulat-bulat.

"Sebab itu kita mahu mereka bersama kerana jika berkelompok walaupun ada tekanan tetapi mereka lebih kekal dalam sesuatu usaha itu," katanya.

Ditanya jika ada sasaran bila daerah ini berjaya keluar daripada kemiskinan, Rafizi berkata, ia tidak mudah untuk diselesaikan dalam tempoh yang singkat.

"Kita perlu pastikan program itu lestari dalam tempoh yang panjang dan ia memang insiatif yang mengambil masa bertahun-tahun.

"Saya mahu pastikan ia betul-betul keluar daripada kemiskinan dan proses ini panjang. Sebaiknya sekarang tumpuan adalah bersepadu daripada kerajaan Persekutuan sehingga kepada kerajaan negeri," katanya.