Rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman: 17 lelaki dibebas

Insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya pada 26 November 2018.
Insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya pada 26 November 2018.
A
A
A
PETALING JAYA - Mahkamah Majistret di sini pada Selasa melepas dan membebaskan 17 orang lelaki daripada pertuduhan merusuh di Kuil Sri Maha Mariamman Seafield, lima tahun lepas, tanpa memanggil mereka membela diri.

Majistret Muhammad Iskandar Zainol membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie terhadap kesemua tertuduh di akhir kes pendakwaan.

Beliau berkata, mahkamah mendapati saksi pendakwaan gagal mengenal pasti kesemua tertuduh melalui pengecaman di kandang tertuduh dan keterangan saksi di mahkamah tidak konsisten.

"Pihak pendakwaan juga tidak mengemukakan sebarang senjata di mahkamah sebagai bahan eksibit seperti pisau seperti yang dinyatakan dalam kertas pertuduhan. Semua senjata itu hanya dikutip dari tempat kejadian oleh saksi dan bukannya dirampas daripada tertuduh," katanya.

Tertuduh ialah Mohammad Saifullah Abdullah, Riduan Sekh Ruslan, Irwan Noordin, Khairi Abdul Rashid, Rozaihan Zakaria, Qayyum Mohd Faisal, Ashraf Mohd Faizal, Absal Eastrie Abdullah, Jalil Talib, Khairol Anuar Zabidi, Zamri Md Said, Shukri Razali, Nor Azmi Abdul Ghani, Shahril Danniel Sajeel, Hasneezam Shah Samsudin, Akmal Izzat Azi dan Norul Ismawi Islahuddin.

Kesemua tertuduh berusia antara 24 dan 47 tahun itu didakwa berada dalam rusuhan dan semasa rusuhan itu, kesemuanya memiliki parang, kapak, pisau serta kayu yang boleh digunakan sebagai senjata untuk menyerang.

Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di kuil berkenaan di USJ 25, Seafield, Subang Jaya antara 2 pagi dan 5 pagi, 26 November 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - Bernama