KPDN tambah bekalan RON95, diesel elak bekalan terputus

Salahuddin (tiga dari kanan) melihat kambing yang disumbangkan pada Korban Rahmah di Pasaraya Econsave Muar pada Selasa.
Salahuddin (tiga dari kanan) melihat kambing yang disumbangkan pada Korban Rahmah di Pasaraya Econsave Muar pada Selasa.
A
A
A

MUAR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meluluskan kuota tambahan sebanyak 1.09 juta liter bagi minyak petrol dan diesel untuk menampung keperluan sempena Aidiladha.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, kuota tambahan itu membabitkan 311,000 liter petrol RON95 dan 783,000 liter diesel bagi keperluan di lokasi-lokasi tumpuan terutama di kawasan sempadan negara, termasuk Johor Bahru.

"Sempena cuti Aidiladha sehingga Ahad, kami mengambil maklum kemungkinan besar berlaku peningkatan penggunaan bahan api, susulan penambahan kenderaan luar biasa di jalan raya untuk pulang ke kampung dan bercuti.

"Berikutan itu, KPDN meluluskan kuota pukal sempadan bagi bulan ini untuk diagihkan kepada tiga syarikat petrol utama iaitu Petronas (529,000 liter petrol dan diesel), Petron (320,000 liter petrol dan diesel) dan Chevron (245,000 liter petro dan diesel)," katanya di sidang akhbar Majlis Korban dan Akikah Rahmah di Pasaraya Econsave, di sini pada Selasa.

Hadir sama, Pengurus Besar Pasaraya Econsave, Mas Imran Adam.

Salahuddin menambah KPDN cukup prihatin terhadap isu bekalan petrol pada musim perayaan agar tidak berlaku gangguan yang sekaligus akan meresahkan pengguna.

"KPDN akan pastikan bekalan petrol dan diesel sampai ke setiap stesen minyak sama ada di bandar, luar bandar atau kawasan pedalaman.

"Pengguna jangan risau, bekalan petrol RON95 dan diesel tahun ini dijangka mencukupi kerana kita sudah membuat persiapan awal dengan meluluskan kuota tambahan," katanya.

Sebelum itu, dianggarkan lebih sejuta kenderaan dari Lembah Klang dijangka keluar menerusi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) bermula Selasa untuk pulang ke kampung masing-masing sempena perayaan Aidiladha tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Anih Berhad, Imran Gulcharan Abdullah berkata, pihaknya menjangkakan peningkatan trafik sehingga 70 peratus melibatkan KLK.

Menurutnya, selain itu, kira-kira 430,000 kenderaan dijangka melalui Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dengan anggaran peningkatan sebanyak 60 peratus.