KKM tiada halangan buka semula LRA Ayer Ganda

Dr Lee Boon Chye (tengah) ketika melawat tapak pameran Jabatan Pediatrik sempena seminar, hari ini.
Dr Lee Boon Chye (tengah) ketika melawat tapak pameran Jabatan Pediatrik sempena seminar, hari ini.
A
A
A

IPOH - Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan tiada halangan untuk Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) membuka semula Loji Rawatan Air (LRA) Ayer Ganda di Gerik yang ditutup sejak 9 April lalu.

Timbalan Menterinya, Dr Lee Boon Chye berkata, langkah itu boleh dilakukan dengan syarat sumber air berkenaan digunakan bukan untuk tujuan minum.

Menurutnya, pencemaran arsenik yang berlaku menyebabkan air yang dibekalkan dari loji berkenaan tidak selamat untuk diminum, namun boleh digunakan bagi tujuan lain.

“Di pihak kementerian, kita sudah pun menulis surat kepada SPAN minggu lalu dan memberikan input terkini berkenaan kedudukan air tersebut.

“Untuk tujuan minum, Lembaga Air Perak (LAP) telah membekalkan air bersih di kawasan terlibat jadi tiada halangan untuk mereka (SPAN) membuka semula loji terbabit,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, keputusan sama ada mahu membuka atau menutup loji berkenaan hanya boleh diputuskan pihak berkuasa SPAN.

“Bukan bidang kuasa kita (kementerian) untuk arahkan ia dibuka atau tidak, kita hanya boleh sahkan air itu tidak selamat untuk minum sahaja, tetapi boleh guna untuk perkara lain,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Harap SPAN benar LRA Sungai Ganda dibuka semula: MB Perak

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Pencemaran arsenik: LRA Sungai Ganda diarah tutup

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebelum ini berkata, hasil pertemuan dengan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar memaklumkan mereka tidak dapat menarik balik arahan penutupan loji itu kecuali mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan.

Cadangan agar loji terbabit dibuka semula dikemukakan selepas mendapat permintaan daripada penduduk yang mahu bekalan air dari loji terbabit digunakan bagi tujuan lain seperti mandi dan membasuh bagi memudahkan rutin harian terutama menjelang musim perayaan bulan depan.

Sebelum ini, Pengerusi SPAN, Charles Santiago berkata, Kementerian Kesihatan mula mengesan pencemaran itu pada 8 Januari lalu, sebelum arahan dikeluarkan kepada LAP pada 14 Januari untuk menutup LRA berkenaan jika operator air negeri itu gagal mengatasinya.

Katanya, laporan susulan KKM pada Februari dan Mac masih mengesan kandungan arsenik dalam air terawat, dan LAP tetap meneruskan operasi LRA yang membekalkan air terawat kepada lebih 1,500 penduduk Kampung Ayer Ganda itu.

Sehubungan itu SPAN terpaksa mengarahkan LAP menutup LRA Sungai Ganda ditutup serta-merta.

Dalam perkembangan lain, Boon Chye merasmikan Seminar Hentikan Penderaan peringkat Negeri Perak 2019 di Mydin Meru Raya.

Beliau berkata, berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak didapati, kes-kes penderaan berlaku di Perak adalah melibatkan kanak-kanak perempuan dan berkaitan penderaan seksual serta pengabaian.

Katanya, bagi kategori pendera, teman lelaki kepada ibu atau wanita merupakan kumpulan utama, diikuti ibu bapa sendiri dan ibu tiri, kebanyakan lokasi kejadian dilaporkan adalah di rumah.

“Terdapat peningkatan pelaporan kes penderaan kanak-kanak pada tiga tahun kebelakangan ini jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya iaitu 271 kes pada 2015 dan 451 kes dilaporkan pada 2018 di mana peningkatan sebanyak 60 peratus.

“Bagaimanapun, masih lagi terdapat kes-kes yang tidak dilaporkan yang boleh menjadi penyumbang terbesar kes penderaan kanak-kanak atau keganasan rumah tangga,” katanya.